Pemain badminton perlu bijak buat keputusan

James
James
A
A
A

PEMAIN badminton negara diharap dapat membuat keputusan tepat bagi memilih sama ada mahu terus bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau bergerak secara solo sebagai pemain profesional.

Ini kerana bagi bekas Pengarah Berprestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, kesemua pemain sama ada pemain senior mahu pun junior diharapkan dapat membuat keputusan yang tepat sebagai jaminan kerjaya masa depan masing-masing.

“Dalam hal ini, para pemain boleh buat keputusan sendiri.

“Mungkin ada sebab mereka berbuat demikian, khususnya bagi yang mahu bergerak secara solo kerana memiliki kemampuan dari segi dana.

“Cuma bagi yang mahu terus berada di bawah BAM, semua fasiliti telah disediakan seperti makan, minum, latihan hinggakan penyertaan ke kejohanan-kejohanan juga diuruskan oleh BAM berbanding dengan pemain yang bergerak secara solo, yang mana mereka semua kena diuruskan sendiri.

“Bagaimanapun, setiap pemain negara juga perlu memiliki iltizam yang kuat bagi mengharungi saingan yang semakin kompetitif dalam era norma baharu ketika ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebelum ini komuniti badminton negara dikejutkan dengan desas-desus jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang mahu meninggalkan BAM.

Beliau dikatakan mahu bergerak secara solo kerana memerlukan perubahan yang mampu mengembalikan semula rentak terbaiknya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ia dinafikan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang menegaskan perkara itu hanya khabar angin.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu berazam dan mahu terus mengetuai skuad negara ke Sukan Olimpik Paris, 2024.

Pada masa sama jelas James, pemain negara tidak boleh lagi berada dalam zon selesa selepas prestasi kurang memberangsangkan tahun lalu.

Justeru beliau berkata, sasaran mara ke final Piala Thomas dilihat sebagai mukadimah positif bagi skuad negara di permulaan tahun 2022.

“Bagi saya sasaran untuk beraksi di final Piala Thomas nanti adalah sasaran yang positif daripada BAM.

“Lagi pun setelah BAM, menstrukturkan semula sistem kejurulatihan baru-baru ini saya lihat ia satu tindakan yang baik di mana jurulatih kini boleh memberikan fokus untuk melatih sama ada bagi acara beregu atau acara perseorangan,” katanya.