Penutupan bekalan lalui proses lazim: TNB

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan semakan pihaknya mendapati kerja-kerja penutupan bekalan elektrik bagi akaun sistem amaran siren banjir di kawasan Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, mengikuti proses lazim.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataannya pada Ahad menjelaskan salah faham pengadu Samsudin Mohamad, 54, yang mendakwa bekalan elektrik pada sistem amaran siren banjir dipotong oleh TNB selepas Jabatan Perhutanan Negeri tidak mampu membayar bil di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas seperti dilaporkan.

Menurut kenyataan itu, semakan TNB menunjukkan Pejabat Hutan Negeri telah membuat permohonan penutupan akaun pada 12 Oktober tahun lalu berikutan siren di kedua-dua kawasan itu tidak berfungsi dan digunakan oleh penduduk di kawasan terlibat.

"Kerja-kerja penutupan bekalan bagi akaun tersebut dilaksanakan pada 14 Oktober tahun lalu mengikut proses biasa biasa yang lazim dilakukan pihaknya.

"Hasil semakan juga menunjukkan tiada sebarang tunggakan pada akaun tersebut," katanya.

Kenyataan berkenaan memberitahu turut bersimpati kepada mangsa banjir terbabit.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini, kecewa apabila siren amaran banjir yang dipasang di taman itu didakwa gagal berfungsi, memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.

Dakwa mereka, situasi itu menyebabkan ratusan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi kerana air terlalu pantas memasuki kediaman mereka.

Artikel Berkaitan:

Lebih memeritkan, kata seorang penduduk, Samsudin Mohamad, 54 tahun, mereka dimaklumkan bekalan elektrik siren amaran tersebut sudah dipotong lebih awal atas alasan tertentu.