APM uji siren sistem amaran awam

Shaharudin (dua dari kanan) ketika sesi taklimat sebelum memulakan ujian siren PWS Ibu Pejabat APM pada Isnin. - Foto: APM
Shaharudin (dua dari kanan) ketika sesi taklimat sebelum memulakan ujian siren PWS Ibu Pejabat APM pada Isnin. - Foto: APM
A
A
A

KAJANG - Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengadakan ujian siren Sistem Amaran Awam (PWS) bagi menilai keberkesanan siren itu dalam menyedarkan masyarakat berkaitan ancaman seperti bencana alam, peperangan, wabak penyakit, darurat, rusuhan dan perintah berkurung.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Operasi APM, Shahrudin Md Zin berkata, menerusi ujian itu, pihaknya berharap masyarakat sentiasa peka, bersedia serta tidak panik apabila mendengar siren tanda amaran untuk sebarang ancaman dan kecemasan.

"APM akan terus mengadakan ujian siren PWS ini bagi memastikan kesiagaan dan melahirkan masyarakat yang berdaya tahan selari dengan aspirasi dekad platinum APM,” katanya kepada pemberita selepas menguji siren itu di Ibu Pejabat APM pada Isnin.

Ketika ini terdapat 30 unit siren yang telah dipasang di seluruh negara dan menurut Sharudin pihaknya menyasarkan sebanyak 250 siren akan dipasang menjelang 2024.

Beliau berkata, bunyi siren itu boleh mencapai jarak dan akses kepada komuniti setempat antara satu hingga lima kilometer bergantung kepada bentuk muka bumi kawasan terbabit.

Terdapat empat nada bunyi yang akan dikeluarkan siren iaitu nada panjang dan berterusan bagi gempa bumi, tanah runtuh dan kebakaran besar yang memerlukan orang awam keluar segera dari bangunan atau memberhentikan kenderaan dan berkumpul di kawasan lapang.

Jenis nada bunyi beralun dan berterusan pula adalah amaran bagi banjir, ombak besar, serangan udara, ribut taufan, wabak penyakit, ancaman toksik, jerebu dan ancaman ketenteraman awam yang memerlukan orang awam masuk segera ke dalam bangunan atau kawasan terlindung yang kukuh.

Bagi nada bunyi pendek dan singkat, ia menandakan ancaman telah tamat manakala jenis nada bunyi pengumuman merupakan pemberitahuan yang disampaikan untuk perhatian orang awam.

Siren PWS dipasang di lokasi berkepentingan ekonomi seperti pelabuhan dan beberapa lokasi strategik di bangunan pentadbiran kerajaan.

Siren PWS terkini jenis elektronik turut dipasang di beberapa menara penyelamat pantai APM sejak berlakunya tsunami pada 2004. - Bernama