X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Dalamkan sungai atasi masalah banjir di Kota Marudu

Kerajaan negeri sentiasa mengingatkan penduduk setempat supaya bersiap sedia berpindah ke PPS apabila diarahkan memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA MARUDU - Kerja-kerja mendalamkan sungai-sungai di daerah sini sedang dirancang sebagai usaha pihak berkuasa kerajaan tempatan untuk mengatasi masalah banjir bagi tempoh jangka masa panjang di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda berkata, ketika ini daripada 15 pusat pemindahan banjir (PPS) yang disediakan di daerah berkenaan, dua PPS masih dibuka iaitu di PPS SK Teritipan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, yang menempatkan seramai 504 mangsa banjir.

Sebagai langkah jangka pendek pula Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri sentiasa mengingatkan penduduk setempat supaya bersiap sedia sepanjang masa untuk berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan, memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, terutamanya pada bulan Januari dan Februari.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lapan kampung yang dinaiki air sejak hujan lebat dua hari lepas mendapati, ada beberapa penduduk di kampung berkenaan dilihat tidak menghiraukan paras air yang tinggi, tetap meredah banjir untuk menyelamatkan harta benda yang termampu dibawa.

Seorang penduduk kampung yang terjejas Siti Noratikah Bakar, 28, berkata, beliau sebelum itu yang bermalam di rumah mentuanya di Kampung Langkon Baru terpaksa kembali ke rumah ibu bapanya di Kampung Popok untuk menyelamatkan barangan di rumah lama mereka yang hampir roboh.

"Saya dengan suami kebetulan bermalam di rumah mentua, tapi apabila ayah beritahu air semakin dalam, kami pulang ke rumah Kampung Popok dekat sini untuk pindahkan barang ke rumah baru," katanya ketika ditemui Bernama semasa sedang berjalan kaki keluar dari kampung berkenaan.

Seorang lagi penduduk Bidin Piling, 55, berkata, setiap tahun kampung itu akan ditenggelami air apabila hujan berterusan.

Sebagai persiapan, beliau yang bekerja sebagai nelayan berkata, mereka sekeluarga sentiasa bersiap sedia dengan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

Seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) Mail Masuari, 81, yang ditemui di PPS SK Teritipan berkata, beliau bersama empat cucunya dipindahkan ke PPS itu semalam atas arahan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!