'Kita lupa banjir itu tanda Tuhan rindu'

Ebby Yus
Ebby Yus
A
A
A

SHAH ALAM - "Kita lupa bahawa banjir itu adalah tanda rindu daripada Tuhan yang ingin mendengar nama-Nya disebut dan dipuji, tapi kita lupa," luah selebriti terkenal tanah air, Ebby Yus yang juga salah seorang daripada mangsa banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Ebby menyifatkan bencana banjir yang turut memusnahkan mahligainya merupakan satu teguran daripada ALLAH SWT untuk menjentik hati manusia.

"Selama hari ini mungkin saya kumpul duit dan buat rumah tersebut selama empat tahun, tapi mungkin saya tidak bersyukur.

"Walaupun saya buat sikit demi sikit, tetapi mungkin lebih banyak bangga daripada syukurnya, maka itu Tuhan tegur. Saya tidak menganggap ia bala kerana apabila kita pandang bala, hilang nikmat, sebaliknya jika kita pandang nikmat, hilanglah bala," katanya ketika Program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) bertajuk Sujud Seorang Hamba di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada Sabtu.

Sebelum ini, rumah beliau di tanah seluas setengah ekar yang hampir siap dibina itu musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Kuala Langat, Selangor mengakibatkan kerugian hampir RM200,000.

Mengulas lanjut, Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid akui, ALLAH SWT sedang menegur umat-Nya kerana jahil dan lalai.

Beliau tidak melihat perkara yang terjadi atas dirinya sebagai musibah kerana baginya, ada rahmat di sebalik apa yang telah ditentukan.

Tambahnya, ujian yang berlaku sebenarnya lebih besar dan berat kepada orang yang melihat berbanding mereka yang diberi diuji.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saya rumah habis, itu sahaja. Tetapi ujian bagi individu yang melihat ini kadangkala dia melihat dengan rasa tidak puas hati dan ada juga yang bantu atas tujuan tertentu, ini maksudnya ujian kepada mereka.

"Satu yang saya pegang iaitu saya percaya sejak dalam perut ibu lagi kita sudah diuji hinggalah ke hari ini, setiap hari kita diuji. Menangis, ketawa, senyum, kaya dan miskin juga adalah ujian," ujar beliau.