Guru wanita rugi RM216,000 terpedaya Macau Scam

Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM216,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans. - Gambar hiasan
Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM216,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans. - Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM216,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, guru di sebuah sekolah rendah di Teluk Intan berusia 48 tahun itu menerima panggilan telefon daripada syarikat insuran pada 10 November lalu yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insuran kemalangan.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu, namun panggilan berkenaan disambungkan ke Balai Polis Pudu untuk laporan pembatalan insuran sebelum disambung kepada pihak mahkamah kononnya pengadu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram.

"Terpedaya dengan helah itu, mangsa membuat dua pinjaman peribadi dengan dua bank berlainan masing-masing berjumlah RM118,000 dan RM59,000 pada awal Disember lalu.

"Kesemua wang pinjaman itu dipindahkan ke satu akaun milik mangsa kerana diarahkan oleh suspek dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya ada menerima panggilan telefon daripada lelaki dikenali sebagai Encik Wong yang mendakwa dari mahkamah tinggi dan mangsa tanpa ragu telah mendedahkan maklumat perbankan miliknya termasuk nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada individu terbabit.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah dimaklumkan pihak bank bahawa wang dalam akaun miliknya berjumlah RM216,000 telah dipindahkan secara berperingkat membabitkan 13 transaksi.

"Kesemua transaksi pengeluaran wang itu dibuat melalui perbankan internet yang dipindahkan kepada dua akaun lain yang dikawal oleh suspek setelah mangsa mendedahkan maklumat perbankan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa ada membuat semakan akaun di bank semalam (Khamis) dan mendapati kesemua wang miliknya telah lesap," katanya.

Ahmad Adnan berkata, laporan kes itu telah diterima pada Khamis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak," katanya.