Ejen insurans didakwa rogol wanita di hotel

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 19 tahun di sebuah bilik hotel Jumaat lalu.

Lim Kai Hoe, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu di dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik sebuah hotel di Jalan Metro Pudu 2, Pudu di sini antara jam 3.30 hingga 8.30 pagi 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin pada kadar yang tinggi dengan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, S Sathya yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana dia perlu menanggung ibu bapa yang sudah bersara.

“Sejak ditahan pada 19 Mei lalu, anak guam telah memberi kerjasama baik kepada polis,” katanya.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.