Azhar dilantik Datuk Bandar MBSP baharu

Azhar Arshad
Azhar Arshad
A
A
A

GEORGETOWN - Datuk Azhar Arshad dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) baharu bagi menggantikan Rozali Mohamud yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 31 Disember.

Azhar yang berusia 55 tahun kini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi; Diploma Pendidikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah; Diploma Pengurusan Awam dan Kursus Sarjana Pengurusan Sumber Tanah.

Azhar sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Penerangan Malaysia serta beberapa Pejabat Daerah dan Tanah di Pahang sebelum berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak November 2018.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelantikan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, pelantikan Azhar dibuat secara peminjaman untuk tempoh dua tahun dan opsyen pelanjutan satu tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022.

"Urusan pelantikan tersebut sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Rozali yang kini berusia 63 tahun telah tamat kontrak perkhidmatannya pada Jumaat.

"Saya mewakili barisan kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang ingin mengucapkan terima kasih kepada Rozali di atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Datuk Bandar MBSP serta jawatan-jawatan lain sejak beliau menyertai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pada tahun 1990," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap Azhar dapat meneruskan kecemerlangan yang dilakukan oleh Rozali sebelum ini.

Antara pencapaian diraih oleh MBSP sepanjang tempoh kepimpinan Rozali adalah kejayaan Seberang Perai merangkul sembilan anugerah dan pengiktirafan sepanjang tahun 2021; melancarkan empat Pelan Tindakan Strategi; menyediakan lapan pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar untuk dinilai oleh rakyat, dua inovasi rekaan pertama di Malaysia yang didaftarkan dalam Daftar Hak Cipta menurut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332] dan pemegang enam Malaysia Book Of Records.

Terkini, MBSP telah mencapai status Bandaraya Rendah Karbon pada tempoh satu tahun lebih awal daripada sasaran asal (tahun 2022) apabila purata penghasilan karbon per kapita sebanyak 5.39 tan CO2e adalah lebih rendah dari purata penghasilan karbon 5.47 tan CO2e (CO2e, purata pelepasan karbon global).