Varian Omicron cetus kekalutan bagi syarikat penerbangan di AS

Virus Omicron telah mencetuskan kekalutan, dengan seluruh industri penerbangan mengalami masalah kekurangan kakitangan. - Gambar hiasan 123RF
Virus Omicron telah mencetuskan kekalutan, dengan seluruh industri penerbangan mengalami masalah kekurangan kakitangan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

TRENTON -- Syarikat-syarikat penerbangan di Amerika Syarikat terus menyaksikan bilangan besar pembatalan penerbangan pada Khamis disebabkan varian coronavirus Omicron turut memberi kesan kepada kakitangan syarikat penerbangan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Lebih 1,190 penerbangan yang dijadualkan berlepas dari AS dibatalkan, menurut FlightAware, perkhidmatan penjejakan penerbangan merentasi industri, dan 4,300 yang lain ditangguhkan.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan, Maddie King berkata, beliau tidak pasti bila operasi akan kembali normal dan industri tidak menjangkakan kesan varian Omicron terhadap kakitangan.

"Ini tidak dijangka," katanya.

FlightAware berkata, tiga syarikat penerbangan - United, Delta dan JetBlue -- membatalkan lebih 10 peratus penerbangan yang dijadualkan pada Sabtu dan American Airlines juga membatalkan 90 penerbangan pada hari yang sama.

Virus itu telah mencetuskan kekalutan, dengan seluruh industri penerbangan mengalami masalah kekurangan kakitangan. Pada Rabu, 1,082 penerbangan dibatalkan.

Jurucakap United Airlines memberitahu CBS News peningkatan kes Omicron di seluruh negara minggu ini memberi kesan langsung kepada kru penerbangan syarikat dan petugas operasi.

"Akibatnya, kami terpaksa membatalkan beberapa penerbangan dan memaklumkan pelanggan yang terjejas sebelum mereka datang ke lapangan terbang."

Artikel Berkaitan:

Pembatalan berlaku ketika orang ramai bergantung pada syarikat penerbangan untuk perjalanan semasa musim cuti. Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan AS (TSA) berkata seramai enam juta orang dijangka menaiki penerbangan.

Kekurangan sangat ketara meskipun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memendekkan masa pengasingan untuk pesakit tanpa bergejala, atau mereka yang kurang bergejala, kepada lima hari berbanding 10 hari untuk cuba mengatasi masalah kekurangan kakitangan perkhidmatan penerbangan di seluruh negara.

Varian Omicron yang sangat mudah menjangkiti kini menyumbang 58.6 peratus daripada semua jangkitan di AS.

"Varian Omicron merebak dengan pantas dan berpotensi memberi kesan kepada semua aspek masyarakat kita," kata CDC dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan oleh CBS.

CDC menyebut mereka yang dapat melakukan perjalanan udara hanya perlu berbuat demikian jika divaksinasi, dan mereka harus memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, dan kerap melakukan ujian. - Bernama