Kerani rugi RM50,000 ditipu Macau Scam

Ahmad Adnan
Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang kerani kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 3.45 petang, wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan daripada lelaki yang dikenali sebagai James berhubung penggunaan kad kreditnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki itu menyatakan mangsa mempunyai tiga transaksi yang dibuat sebanyak RM15,596 pada November lalu.

Menurutnya, mangsa telah memaklumkan kepada suspek yang dia tidak pernah membuat sebarang permohonan kad kredit dengan bank berkenaan.

"Suspek kononnya ingin membantu mangsa membuat laporan polis kepada Bank Negara bahawa ada individu yang telah menggunakan butirannya untuk membuka akaun di bank.

"Mangsa yang terperdaya dengan helah itu telah memberikan maklumat peribadi dan butiran maklumat akaun bank miliknya serta menerima satu salinan laporan polis daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, mangsa sedar ditipu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank dua jam kemudian pada hari sama.

"Pihak bank mengatakan bahawa mangsa telah membuat pindahan wang secara dalam talian daripada akaun miliknya ke akaun bank atas nama Saravanen.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat 15 transaksi dikeluarkan suspek dengan jumlah keseluruhan RM50,000," katanya.

Ahmad Adnan berkata, mangsa tampil membuat laporan polis pada Rabu di Balai Polis Hutan Melintang dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).