Pembangkang gesa tubuh jawatankuasa Parlimen siasat Azam Baki

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) menggesa sebuah pasukan penyiasat bebas rentas parti dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan segera bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan ahli Parlimen terbabit iaitu Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Hassan Karim (Pasir Gudang), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).

Kumpulan berkenaan meminta supaya pendedahan penuh tentang semua aset yang dipegang oleh Azam termasuk dimiliki oleh isteri, anak-anak dan mereka yang mempunyai pertalian dibuat.

“Selain itu, siasatan juga perlu merangkumi pendedahan penuh tentang semua aset yang dipegang oleh mana-mana pesuruhjaya (mantan dan semasa) SPRM lain untuk memastikan integriti SPRM.

“Bagi memudahkan siasatan dilaksanakan, Azam perlu mengambil cuti bagi memudahkan siasatan oleh pihak berkuasa. Kami juga mencadangkan tindakan segera bagi menangani dakwaan tersebut dan membersihkan nama baik SPRM, sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kumpulan itu turut mencadangkan agar undang-undang, dasar, prosedur operasi standard serta prosedur semak dan imbang bagi mengukuhkan SPRM.

Selain itu, kata mereka, ia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan SPRM di semua peringkat tentang keperluan untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa secara dalaman dan luaran.

Pada Selasa, ahli ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa' dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Mengulas lanjut, kumpulan ahli Parlimen PH itu menyatakan bahawa tindakan meletak jawatan itu dilakukan sebagai langkah membantah kegagalan Pengerusi Panel, Tan Sri Borhan Dolah mengambil tindakan.

“Peletakan jawatan Gomez menunjukkan beliau tidak hendak tunduk kepada penubuhan SPRM atau bersekongkol dengan mereka untuk menyembunyikan salah guna kuasa dalam pertubuhan tersebut.

“Apabila panel-panel berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, bagaimanakah kita menyelesaikan masalah itu terutama apabila kerajaan tidak bertindak menggantikan ahli-ahli panel pengawasan yang tidak berkesan atau yang telah dikompromi?” soal mereka.

Tambah mereka, sekiranya panel pemantau SPRM terus enggan menyiasat dan memandangkan agensi itu tidak boleh menyiasat ketuanya sendiri, pihak polis harus memulakan siasatan berdasarkan semua maklumat sedia ada dalam domain awam.