Cheng Hoe masih ada komitmen dengan FAM

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengekalkan khidmat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe biarpun dikritik hebat selepas skuad kendaliannya beraksi hambar dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe masih mempunyai komitmen dengan badan induk negara itu memandangkan kontraknya tamat pada penghujung tahun 2022.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, status pengendali kelahiran Kedah berusia 53 itu hanya akan terjawab secara rasmi sebaik sahaja Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan mengadakan post mortem pada bulan depan.

“Tiada rancangan memecat Cheng Hoe. Buat masa sekarang fokus kami mencari penyelesaian bagi menghadapi tahun 2022 yang mana pasukan negara akan beraksi dalam Kelayakan Piala Asia (2023) tahun depan.

“Saya tak boleh nak buat huraian lanjut mengenai perkara ini. Kita tunggu laporan post mortem Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, jawatankuasa itu akan buat keputusan.

“Saya juga tak boleh nak sahkan bila tarikhnya (post mortem). Cuma apa yang saya boleh beritahu, Cheng Hoe masih lagi staf kita (FAM) kerana beliau masih ada kontrak sampai tahun depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada masa sama, Saifuddin mengesahkan, FAM telah membuat keputusan menyambung kontrak pengendali skuad Bawah-23 (B-23) negara, Brad Maloney selama dua tahun.

“Secara dasarnya, Maloney telah menyatakan persetujuan dengan surat tawaran FAM baru-baru ini. Maloney telah menerima surat berkenaan, cuma masih belum menandatanganinya kerana beliau kini berada di Australia.

Artikel Berkaitan:

“Beliau dijangka kembali ke Malaysia pada pertengahan Januari ini untuk menandatangani surat tawaran tersebut. Kemudiannya baru beliau akan membentangkan perancangannya bagi menghadapi dua kejohanan besar tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, Hassan Sazali Waras dilantik sebagai jurulatih Skuad Projek FAM-MSN bagi menggantikan tempat Yusri Che Lah yang melepaskan jawatannya awal bulan ini.

Hassan yang pernah bekerjasama dengan bekas pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee selama enam tahun juga mengendalikan skuad Harimau Muda C pada 2014 dan 2015.