Perak kumpul e-waste tertinggi

Mohd Akmal (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta yang menjadi johan dalam pertandingan Fotografi Alam Sekitar kategori pelajar pada majlis penutup HASN peringkat negeri di Ipoh.
Mohd Akmal (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta yang menjadi johan dalam pertandingan Fotografi Alam Sekitar kategori pelajar pada majlis penutup HASN peringkat negeri di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Perak berjaya merekod kutipan tertinggi dalam negara dengan mengumpul 256 metrik tan sisa barangan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tahun ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 44 tan metrik yang dicatatkan tahun lalu.

"Tahun lepas Perak berada di tempat ketiga disebabkan tiada penyelarasan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun, kejayaan ini hasil usaha agresif yang dijalankan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), PBT, pihak swasta dan anak syarikat kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan majlis penutup Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa.

Mohd Akmal berkata, kerjasama strategik bersama pemain industri itu akan diteruskan menerusi HASN 2022 dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilantik sebagai tuan rumah bagi peringkat negeri.

"Program HASN ini sangat bermanfaat dan akan diteruskan berikutan ada peningkatan sangat baik daripada kilang-kilang yang mana mereka telah mula menaik taraf teknologi mereka satu persatu.

"Selain itu, program ini turut melibatkan kempen kesedaran di peringkat sekolah yang bertujuan mendidik pelajar bahawa betapa pentingnya cintakan alam sekitar," katanya.

Katanya, HASN 2021 yang telah melabuh tirai itu berjaya menerima sebanyak 403 penyertaan menerusi program yang dianjurkan sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengadakan pertandingan fotografi, cabutan bertuah, pertandingan puisi alam sekitar serta anugerah-anugerah termasuk di peringkat sekolah," katanya.