'Rehatkan' pegawai tinggi SPRM, segera siasatan: Pejuang

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meminta supaya pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku direhatkan bagi memberi keutamaan terhadap usaha menyiasat perkara tersebut.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamuddin berkata, partinya juga mendesak supaya mesyuarat diadakan dengan segera dan serta-merta bagi memulakan siasatan tersebut supaya nama baik SPRM dapat dikembalikan.

Menurutnya, peletakan jawatan bekas ahli panel Perunding dan Pencegahan Rasuah SPRM, Dr Edmund Terrence Gomez pada Isnin disebabkan oleh keengganan badan tersebut untuk membincangkan dakwaan itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan membimbangkan.

"Sikap sambil lewa Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat terhadap dakwaan kepada ketua SPRM, menimbulkan keraguan dan spekulasi, sekaligus menimbulkan kesangsian terhadap organisasi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Edmund yang juga ahli ekonomi dilaporkan telah meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan yang membabitkan pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Dalam surat bertarikh 27 Disember kepada Pengerusi Panel SPRM, Tan Sri Borhan Dolah, Edmund mendakwa wujudnya kemungkinan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Mengulas lanjut, Ulya berkata, usaha untuk mengadakan mesyuarat dan merehatkan pegawai terbabit bagi memberi lalu kepada siasatan dakwaan tersebut adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukkan wujudnya sistem semak dan imbang dalam organisasi kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, SPRM memiliki tanggungjawab utama untuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko mendedahkan maklumat walaupun salah laku itu berlaku di dalam organisasi itu sendiri.

Artikel Berkaitan: