'Pemain tak beri aksi 100 peratus'

Skuad Harimau Malaya tersingkir awal di peringkat kumpulan pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Skuad Harimau Malaya tersingkir awal di peringkat kumpulan pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
A
A
A

KEGAGALAN skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan peminat, penyokong, pemerhati mahupun pengkritik bola sepak tanah air.

Rata-rata mereka nyata kecewa dengan prestasi hambar yang ditunjukkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Disebabkan kegagalan yang dianggap memalukan itu, timbul pelbagai 'teori' dan 'hipotesis' atas kegagalan Harimau Malaya dalam kempen 'Piala Dunia Asia Tenggara' tersebut.

Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau secara peribadi berpandangan barisan pemain negara tidak memberikan aksi 100 peratus pada kejohanan kali ini.

“Banyak faktor yang boleh dinilai atas kegagalan pasukan negara kali ini. Tetapi saya lihat masalah sebenar pemain kita ialah kesungguhan dan komitmen mereka bersama pasukan negara.

“Kalau tengok pasukan Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia, mereka memberikan aksi 200 hingga 300 peratus di tengah padang. Ia terbukti dalam aksi separuh akhir baru-baru ini.

“Ini berbeza dengan pemain-pemain negara. Mungkin ada yang takut cedera sehingga bermain 'ala kadar'. Jadi itu menyebabkan mereka tidak memberikan aksi 100 peratus.

“Sepatutnya, bila mereka dapat panggilan (mewakili negara), kena all out. Tolak tepi soal cedera atau tidak, yang penting mereka tunjukkan kemampuan di tengah padang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau memberitahu, kejayaan akan hadir sekiranya setiap pemain mampu memberikan komitmen sepenuhnya setiap kali turun ke padang.

“Macam inilah, dia ibarat bila kita bercinta. Ia melibatkan antara perasaan dan hati, bila perasaan dan hati tak nak tak, maka tak adalah cinta itu.

“Macam itulah juga apabila dapat panggilan ke skuad kebangsaan. Kalau tak ada perasaan dan hati, pemain akan pergi bukan kerana bersungguh-sungguh nak main tetapi kerana terpaksa.

“Bila ditanya, memanglah semua akan cakap akan all out tapi bila kita tengok sendiri permainan di tengah padang, tak ada all out pun kan?” tegasnya.