Libasan 'maniam' semakin digeruni

Zahir Awang yang menggunakan teknik maniam menghiasai majalah sepak takraw Thailand keluaran 1980-an.
Zahir Awang yang menggunakan teknik maniam menghiasai majalah sepak takraw Thailand keluaran 1980-an.
A
A
A

PEMINAT sepak takraw daripada kalangan Generasi Z hari ini ada yang menggelarnya sebagai libasan gunting, ada juga yang memanggilnya libasan pari kerana sudut rejaman dan trajektori bola yang sukar dijangka.

Namun bagi 'otai' atau orang lama, gaya libasan yang sinonim dengan killer nombor satu negara, Mohamad Azlan Alias itu sememangnya dikenali sebagai sunback atau libasan maniam.

Malah Muhammad Noraizat Nordin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Hafizul Hayazi turut menggunakan teknik libasan 'back stroke' yang menjadi senjata utama yang telah berjaya memecah dominasi musuh tradisi, Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, tidak keterlaluan peminat Thailand yang mati akal sudah menganggap libasan maniam sebagai identiti yang tidak boleh dipisahkan daripada skuad Malaysia.

Buktinya, selepas berakhirnya temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang menyaksikan Malaysia meraih kejuaraan regu berpasukan ke atas tuan rumah, peminat tegar Gajah Perang menggesa pemain mereka menggunakan teknik sama yang dipraktikkan Azlan dan Noraizat.

Libasan manian Azlan kini digeruni Thailand.
Libasan manian Azlan kini digeruni Thailand.

Bagi mereka, libasan gulung atau 'roll spike' semata-mata sudah tidak relevan apabila bertemu Malaysia apatah lagi kedua-dua negara dijangka memperbaharui episod permusuhan dalam gelanggang menjelang Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur pada Mei dan Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun, September depan.

Asal usul nama

Artikel Berkaitan:

Menurut penggiat sepak takraw, Ahmad Hassan, teknik sunback dikenali libasan maniam sejak era 70-an lagi dan generasi pemain atau peminat sukan berkenaan terus menggunakan nama tersebut sepanjang era 80 dan 90-an sehinggalah ke hari ini.

"Masa saya kecil dulu, orang dah panggil libas maniam. Setahu saya, ia tak ada kena mengena sempena pemain berbangsa India bernama Maniam dalam skuad kebangsaan atau mana-mana pasukan dalam negara pada waktu itu.

"Gaya libasan ni nampak mudah bukan macam libasan gulung. Bila main petang-petang, sebab nampak mudah orang cakap 'ala lipat maniam aje pun' tapi sebenarnya berbisa kerana kita boleh melihat blocking atau mengatur arah bola," katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti Asia.

Ahmad yang pernah menjadi pemain dan pengurus pasukan sepak takraw MPSJ kini dikenali sebagai MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) berkata, satu kelebihan besar teknik maniam ialah keupayaan transisi.

Ujar Ahmad, pemain yang gemar menggunakan teknik tersebut boleh beralih daripada posisi bertahan kepada menyerang dalam satu sentuhan.

"Situasi bola mati, bola separa rosak atau lantunan tidak kemas masih boleh dimanfaatkan tanpa perlu menyusun semula serangan.

"Atas faktor ini, pasukan yang memiliki 'killer' maniam tidak mudah dijangka. Lawan tidak boleh terlalu awal menutup satu sudut kerana setiap libasan mempunyai beberapa pilihan akhir," katanya.

Tak cantik tapi membunuh

Menurut Ahmad, libasan maniam pada awalnya bukanlah teknik digeruni Thailand yang sekian lama dianggap 'tembok terakhir' dalam dunia sepak takraw.

Tambahnya, pada era 80 dan 90-an libasan maniam yang kelihatan kurang 'menawan' berbanding rejaman gulung sering dipandang sebelah mata oleh pemain Thailand.

Noraizat atau Bangau turut memiliki libasan maniam yang deras.
Noraizat atau Bangau turut memiliki libasan maniam yang deras.

"Saya masih ingat dulu kita ada pemain hebat seperti Zabidi Shariff dan Raziman Hassan yang mempunyai teknik rejaman gulung yang sangat hebat.

"Tapi disebabkan Thailand sudah mengkaji dan menaik taraf permainan mereka, jadi kita sukar nak menang kerana teknik rejaman gulung mereka sudah dipertingkat.

"Teknik libasan maniam oleh Zahir Awang, Rehan Mohamad Din, Shaari Hashim dan Baharom Johar pernah membawa kejayaan buat skuad negara di Sukan Asia.

"Futra Abd Ghani juga guna teknik maniam ketika Malaysia kalahkan Thailand dalam regu berpasukan di Sukan SEA Filipina pada 1991. Sekarang giliran Azlan dan Noraizat pula mendominasi gelanggang dengan teknik maniam," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Generasi Z mengenal gaya libasan dalam sepak takraw sebagai libasan gunting atau libasan pari sedangkan orang lama mengenalinya sebagai sunback atau maniam
  • Teknik sunback atau maniam telah membantu Malaysia memecahkan dominasi Thailand dalam sepak takraw
  • Peminat Thailand menganggap teknik maniam sebagai identiti tidak terpisahkan daripada skuad Malaysia
  • Teknik maniam memungkinkan pemain beralih dari posisi bertahan ke menyerang dalam satu sentuhan
  • Pada era 80 dan 90-an, teknik maniam tidak dianggap menarik dibandingkan teknik rejaman gulung tetapi telah membawa kejayaan kepada Malaysia dalam pertandingan internasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!