Jangan beri 'sampah' pada mangsa banjir

Khairul Nizam menunjukkan dua bantal busuk disumbangkan orang ramai kepada mangsa banjir.
Khairul Nizam menunjukkan dua bantal busuk disumbangkan orang ramai kepada mangsa banjir.
A
A
A

SEREMBAN - Presiden Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery meluahkan rasa kecewa apabila program mengumpul barangan untuk mangsa banjir dijadikan sebagai tempat membuang pakaian dan barangan rosak.

Khairul Nizam berkata, bagi mengelakkan perkara itu, pihaknya tidak akan melaksanakan program sebegitu kerana ia hanya menambah beban.

"Saya tahu rakyat kita prihatin. Tapi tolonglah jangan beri 'sampah' kepada mangsa banjir iaitu baju lusuh dan bantal busuk seperti mana yang saya jumpa dalam operasi membantu mangsa banjir membersihkan rumah di Hulu Langat, Selangor.

"Bayangkan dari lapan plastik yang diberi kepada mangsa banjir, hanya satu plastik yang betul-betul elok dan selebihnya terpaksa terbuang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, beliau juga kecewa apabila ada badan bukan kerajaan (NGO) tidak membuat pengasingan barangan sebelum diberi kepada mangsa banjir.

Selain itu katanya, paling diharapkan oleh mangsa-mangsa banjir ketika ini ialah bantuan untuk membersihkan rumah.

"Pada pandangan saya selain bantuan makanan, kita fokuskan bantuan pembersihan rumah kerana ia memerlukan tenaga yang ramai.

"Lagi pun pihak yang datang bersih rumah ini tidak ramai kerana kerjanya penat. Selepas selesai kerja-kerja pembersihan, barulah kita lihat keperluan mangsa-mangsa banjir ini," katanya.

Artikel Berkaitan: