Ringgit jatuh: Gabenor BNM jangan beri kenyataan gula-gula

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejatuhan Ringgit seperti tidak terkawal ketika ini sekali gus memberi kesan buruk terhadap ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Malaysia masih mengimport banyak barang dari luar negara dan pada masa sama ada berhutang dengan pihak luar.

"Ini semua memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, kos sara hidup rakyat dan hutang negara. Jadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan pasukannya perlu memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi serta kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Bercakap benarlah walaupun pahit.

"Adakah faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan menjadi antara punca kejatuhan nilai Ringgit? Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka.

"Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, satu agensi bawah Kementerian Ekonomi iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tiba-tiba pada Khamis melaporkan Indeks Pelopor (Leading Index) yang boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia untuk suku ketiga tahun ini berkembang perlahan.

Jelasnya, dalam bahasa harian ekonomi Malaysia prestasinya tidak begitu baik, justeru Gabenor BNM perlu beritahu masalah sebenar kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

"Jangan bagi kenyataan gula-gula iaitu kononnya, ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya, nilai Ringgit jatuh sementara dan terkawal. Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini. Rakyat Malaysia sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka," ujarnya.

Hassan berkata, BNM terutama Gabenornya perlu membantu kerajaan dengan menasihati Anwar dan memberi penjelasan khusus misalnya isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Katanya, sebelum ini BNM maklumkan kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit tetapi sudah banyak kali kadar tersebut dinaikkan oleh BNM tetapi mengapa nilai Ringgit semakin jatuh.

"Contohnya pada Jumaat nilai satu dolar Amerika Syarikat bersamaan RM4.63. Jadi Gabenor BNM perlu berterus terang kepada Anwar apa sebenarnya punca kejatuhan Ringgit sekarang?

"Tidak bolehlah BNM menepis dan cuci tangan menyatakan Ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor luar di luar kawalan mereka. BNM pun tidak boleh berhujah bahawa semua matawang asing juga jatuh macam ringgit.

"Nasib baik BNM tak cakap macam itu. Ketika nilai Ringgit jatuh berbanding dolar Amerika, maka kenapa nilai dolar Singapura dan Rupiah Indonesia naik melonjak," soalnya.

Justeru, Gabenor BNM harus jujur kepada Anwar tentang perkara sebenar yang menjadi punca kejatuhan Ringgit ketika ini walaupun diakui matawang Malaysia itu pernah jatuh sebelum ini di bawah kerajaan lain.

"Adakah wujud masalah struktur dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia? Kita tidaklah boleh bersorak gembira. Apabila dolar Singapura melonjak tinggi dan Ringgit Malaysia jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam Ringgit Malaysia," ujarnya.