Malaysia berdepan krisis alam sekitar, ekonomi jika kekal kabinet gagal

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mempunyai peluang untuk melakukan rombakan semula kabinet selepas prestasi yang mereka tunjukkan ketika negara dilanda banjir.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Ismail Sabri 'tahu' bagaimana untuk melakukannya selepas mewarisi kabinet tersebut daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berpendapat, Malaysia akan terus berdepan dengan pelbagai krisis alam sekitar dan ekonomi yang tidak terjangka jika kepimpinan negara terus mengekalkan barisan kabinet lemah daripada kerajaan PN.

"Rakyat negara ini pula telah menghantar isyarat yang jelas berhubung perkara tersebut. Perdana Menteri dari awal nampaknya bersendirian dalam pengurusan krisis ini walaupun beliau turun kelapangan dan gigih mengumumkan pelbagai intervensi kerajaan, namun kemarahan rakyat terhadap prestasi anggota kabinet yang lain amat sukar dibendung.

"Paling malang ialah ketidakterlihatan ramai wakil kanan dan bukan kanan dalam kabinet semasa krisis amatlah dikesali, rupanya ramai yang telah pergi bercuti dalam keadaan negara sedang berantakan.

"Mereka tidak sedikitpun memaparkan kebingkasan setimpal 90 peratus markah pencapaian prestasi mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beberapa negeri dilanda bencana banjir sejak minggu lalu hingga mengakibatkan lebih 40 orang maut dan ribuan penduduk terjejas antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kerajaan mesti mengambil pengajaran bahawa kelemahan mengurus krisis tidak akan mudah dilupakan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bencana banjir kesan daripada perubahan iklim yang melanda negara katanya, sangat menginsafkan dan sangat perit melihat kehilangan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dilalui ramai rakyat Malaysia.

"Di sebalik duka nestapa yang melanda negara dan bangsa, telah terbit pengajaran yang sangat besar iaitu Malaysia adalah ‘more a society and less state’," katanya.

Beliau berkata, kebaikan, bantuan serta segala daya usaha individu persendirian dan badan bukan kerajaan (NGO) membuktikan cerita dan nilai Malaysia yang sebenarnya ialah setiakawan, perpaduan, toleransi dan gotong royong.

"Melihat orang ramai berbondong membantu tanpa lelah, meyakinkan saya bahawa rakyat Malaysia sangat bertanggungjawab menjaga satu sama lain," jelasnya.