Misi bantuan kemanusiaan rakyat hadapi bencana banjir

A
A
A

BENCANA banjir musim tengkujuh yang melanda di seluruh negara pada minggu lalu telah melumpuhkan mobiliti lapan buah negeri dan meragut nyawa serta kelangsungan hidup rakyat jelata.

Malaysia yang kini berada di musim tengkujuh tahunan sememangnya sedar akan kehadiran bencana sedemikian terutama di pantai timur namun banjir ditimpa pada kali ini agak di luar jangkaan sebabnya telah melibatkan negeri-negeri di kawasan pantai barat.

Akhbar harian Tamil Makkal Osai melaporkan, musibah banjir terbaharu itu bukan yang julung kali tetapi implikasinya antara yang teruk negara pernah saksikan dalam sejarah bencana alam tempatan.

Banjir besar seumpama itu sebelum ini telah berlaku pada tahun 1926 dan 1971. Bencana banjir pada 1971 dikatakan telah menenggelamkan ibu kota Kuala Lumpur di mana hampir 60 peratus kawasan dibanjiri air sungai.

Warga Kuala Lumpur kira-kira 180,000 orang telah menjadi mangsa banjir dan sejumlah 38,000 kediaman musnah dilanda air banjir yang melibatkan kos kerugian sebanyak RM85 juta.

Makkal Osai menyatakan, senario banjir di lapan buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur masih belum stabil apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat menghampiri 70,000 orang.

Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini bahawa sebanyak 37 kematian telah direkodkan membabitkan insiden bencana banjir.

Pihak PDRM turut berkata, seramai 10 individu lagi dikhuatiri telah hilang kemungkinan dihanyut air banjir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Makkal Osai cukup terharu menyaksikan semangat seluruh rakyat Malaysia yang bersatu padu turun padang untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir yang patut diberi pujian tinggi.

Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama tampil menyertai misi bantuan kemanusiaan demi menghadapi bencana banjir tanpa diduga itu dengan menyalurkan bantuan makanan, pakaian dan pengangkutan kepada mangsa banjir berkenaan.

Ada juga beberapa individu sanggup turun ke kawasan banjir penuh bahaya itu dari negeri-negeri lain untuk memberi bantuan kemudahan bot dan kenderaan berpacuan tinggi.

Selain itu, terdapat pula orang ramai yang berani meredah banjir dengan menggunakan basikal bagi membantu mangsa banjir daripada mati lemas.

Bencana banjir itu turut telah menggerakkan anak-anak muda untuk tampil menjadi sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan oleh individu persendirian, rumah ibadah, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa.

Kini sudah ada beberapa kawasan dilanda banjir semakin pulih tetapi mangsa banjir telah kehilangan segala-galanya namun rakyat Malaysia tanpa putus asa masih meneruskan misi bantuan kemanusiaan dengan menjalankan usaha membersihkan kawasan kediaman dan masjid serta kuil.

Dalam pada itu, bagi menghadapi fasa pasca bencana banjir tersebut kerajaan Malaysia telah menyediakan bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas.

Bantuan kewangan itu adalah untuk meringankan beban ditanggung mangsa banjir bagi meneruskan kehidupan harian mereka.

Bukan itu sahaja, kerajaan-kerajaan negeri juga telah mengumumkan inisiatif bantuan tambahan agar proses pemulihan mangsa banjir dapat dipercepatkan.

Dengan ini, pihak kerajaan telah menyediakan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM200 juta sebagai usaha menangani impak bencana banjir dan memulih kembali perjalanan hidup dan perniagaan rakyat terkesan akibat bencana itu.

Bencana banjir yang menimpa negara pada kali ini telah diklasifikasikan sebagai antara yang terbesar dan terburuk, ironinya perubahan iklim dunia yang menjadi ancaman terbaharu global pastinya tidak mengecualikan Malaysia.

Pengurusan bencana alam bertaraf antarabangsa dilengkapi dengan langkah cukup efektif amat diperlukan daripada pihak kerajaan dan agensi pengurusan bencana negara bagi menyelamatkan rakyat serta negara menjadi mangsa bencana alam kelak.