Bersatu jangan silap baca sejarah Pas

Tulisan seorang pemikir Bersatu yang membawa naratif bahawa kekuatan Pas hari ini berpunca daripada gabungan dengan Bersatu perlu direnung bersandarkan sejarah Pas. Gambar kecil: Mukhtaruddin
Tulisan seorang pemikir Bersatu yang membawa naratif bahawa kekuatan Pas hari ini berpunca daripada gabungan dengan Bersatu perlu direnung bersandarkan sejarah Pas. Gambar kecil: Mukhtaruddin
A
A
A

TULISAN seorang pemikir Bersatu yang membawa naratif bahawa kekuatan Pas hari ini berpunca daripada gabungan dengan Bersatu perlu direnung bersandarkan sejarah Pas.

Mengaitkan bahawa Pas pernah kalah teruk dalam PRU 2004 kerana “tiada rakan gabungan” serta surutnya gelombang penolakan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) menjadi tanda tanya.

Tanpa mengurangi rasa hormat kepada penulis, saya memilih untuk berbeza pendirian. Bagi saya, tafsiran seperti ini bukan sahaja terlalu ringkas, malah ia berisiko menyelewengkan fakta sejarah dan seterusnya menghasilkan projeksi yang salah terhadap kedudukan Pas serta masa depan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Sejarah tidak boleh dijadikan alat menakut-nakutkan, apatah lagi jika kronologi dan konteksnya disusun secara longgar.

Pertama, dakwaan bahawa DAP keluar daripada Barisan Alternatif (BA) kerana pengumuman Dokumen Negara Islam Pas adalah tidak tepat dari segi kronologi.

DAP meninggalkan BA pada tahun 2001, sedangkan Dokumen Negara Islam Pas hanya diumumkan pada 12 November 2003. Ketika DAP keluar, kepimpinan Pas masih diterajui Allahyarham Ustaz Fadzil Noor.

Mengaitkan perpecahan BA dengan dokumen yang muncul dua tahun kemudian adalah kesilapan asas yang tidak wajar dijadikan sandaran hujah.

Jika ada pelajaran yang patut diambil daripada episod itu, ia adalah satu: Pas dari dahulu bertegas pada prinsip—dan ketegasan itulah yang sering disalah tafsir, termasuk hari ini.

Kedua, dakwaan bahawa kekalahan Pas kerana “tiada rakan gabungan” juga tidak selari dengan realiti ketika itu. BA tidak runtuh sepenuhnya pada 2001; yang berlaku hanyalah satu parti, iaitu DAP, menarik diri pada 22 September 2001.

Artikel Berkaitan:

Pas masih meneruskan kerjasama politik dalam BA bersama Parti Keadilan Nasional (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Kedua-dua parti ini kemudiannya bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003.

Kejasama politik itu berlanjutan sehingga PRU 2004, malah PRU 2008. Ertinya, Pas tidak bertanding secara bersendirian tanpa sebarang pakatan politik dalam PRU 2004.

Menggambarkan Pas seolah-olah “solo” pada 2004 bukan sahaja mengelirukan, malah bersalahan dengan rekod sejarah.

Kekalahan Pas dalam PRU 2004 jika mahu diungkit adalah kerana faktor yang lebih besar: perubahan mendadak kepimpinan nasional. Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 dan digantikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Peralihan dari PM4 yang tidak disukai rakyat kepada PM5 telah mencetuskan gelombang harapan baharu khususnya pengundi Melayu, terhadap BN.

Abdullah Badawi tampil dengan imej lebih sederhana, bersih, dan menjanjikan pembaharuan selepas era panjang Dr Mahathir.

Di sinilah berlakunya anjakan psikologi pengundi: kemarahan yang mencetuskan “Malay revolt” pada 1999 mereda, manakala BN mendapat “wajah baharu” yang memulihkan semula keyakinan sebahagian besar Melayu.

Pas, seperti mana-mana pihak lawan, akhirnya berdepan gelanggang yang sangat berbeza pada 2004. Dengan kata lain, Pas tidak kalah kerana tiba-tiba kehilangan rakan, tetapi kerana lawan bertukar naratif dan wajah pada saat yang paling strategik.

Malah kelebihan yang dimiliki BN ketika itu hasil dari persempadanan semula tidak boleh dinafikan penyebab kekalahan Pas

Itulah hakikat yang lebih adil untuk diterima jika kita benar-benar mahu belajar daripada sejarah, bukan memanipulasinya.

Menyamakan keadaan Pas hari ini dengan Pas menjelang PRU 2004 agak mengelirukan.

Kemenangan besar Pas dalam PRU15 tidak boleh disempitkan sebagai hasil “menumpang” PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata. Ya, PN ialah wadah yang penting—tetapi Pas bukan penumpang tanpa enjin.

Pas menang kerana kekuatan jentera, disiplin parti, akar umbi yang hidup, serta keyakinan pengundi bahawa Pas konsisten dengan perjuangannya.

PN menyediakan kerangka gabungan; Pas menyumbang tenaga organisasi dan keteguhan struktur.

Mengabaikan faktor dalaman Pas seolah-olah Pas tidak memiliki kekuatan sendiri, hanya akan menghasilkan bacaan politik yang pincang.

Dalam konteks itu, isu Perlis juga tidak wajar diringkaskan sebagai konflik yang kononnya berpunca daripada tindakan Muhyiddin “menjunjung titah” Tuanku Raja Perlis.

Isu pokoknya lebih teknikal tetapi jauh lebih serius: kelemahan tadbir urus krisis secara berinstitusi.

Pertama, krisis tidak dibawa dan diselesaikan melalui mekanisme Majlis Tertinggi PN sebagaimana sepatutnya.

Kedua, tindakan lima ADUN Bersatu yang mengemukakan surat akuan bersumpah untuk menjatuhkan Menteri Besar tanpa pemakluman dan persetujuan parti dibiarkan tanpa disiplin yang jelas.

Ini bukan isu “taat kepada Istana” atau “tidak taat”; ini isu disiplin, prosedur, dan kesatuan keputusan gabungan.

Bila sebuah gabungan gagal mengurus krisis melalui saluran rasmi, gabungan itu kelihatan lemah dan kelemahan ini akhirnya ditanggung bersama oleh semua komponen, termasuk Pas.

Ketika yang sama, tanggapan bahawa Pas kini mahu berdiri sendiri tanpa gabungan juga tidak tepat.

Sehingga ke saat ini tiada mana-mana kenyataan pimpinan Pas yang mengatakan mahu meninggalkan PN. Pas tidak menolak konsep gabungan.

Yang dipersoalkan ialah keadaan PN yang dilihat tidak berfungsi dengan berkesan apabila pergolakan dalaman sebuah komponen mula menjejaskan kestabilan dan wibawa gabungan secara keseluruhan.

Kritik Pas pada asasnya ialah tuntutan pembaikan: PN mesti diperkukuh agar tidak kelihatan longgar, lambat bertindak, dan gagal menampilkan kepimpinan kolektif yang tersusun.

Begitu juga isu “fatwa jawatan tidak boleh diberikan kepada orang yang menuntutnya”. Prinsip itu merujuk kepada individu yang mengejar jawatan demi kepentingan peribadi.

Sedangkan tuntutan Pas berhubung jawatan Pengerusi PN adalah tuntutan institusi bukan nafsu individu dengan tujuan memastikan struktur kepimpinan gabungan lebih kukuh dan lebih berfungsi.

Menyamakan dua perkara ini sama ada menunjukkan kekeliruan konsep, atau cubaan mengaburkan maksud sebenar isu.

Akhirnya, prasyarat kemenangan PN dalam PRU16 tidaklah “kabur” seperti yang digambarkan. Mengambil beberapa keputusan pilihan raya kecil sebagai ukuran muktamad juga tidak tepat kerana PRK sangat dipengaruhi faktor setempat, calon, jaringan tempatan dan dinamika mikro.

Yang lebih penting ialah arus besar: penolakan rakyat kepada BN dan PH dalam beberapa perkembangan mutakhir menunjukkan ruang politik masih terbuka.

PN mempunyai peluang tetapi peluang itu hanya boleh dimanfaatkan jika gabungan ini tampil lebih tersusun, lebih berdisiplin, dan mampu meyakinkan rakyat bahawa ia bukan gabungan yang berpecah kerana kelemahan dalaman.

Kesimpulannya, tidak tepat untuk membandingkan Pas hari ini dengan kegagalan PRU 2004.

Malah ia adalah analogi yang lemah. Pas kalah pada 2004 kerana perubahan kepimpinan nasional yang mencipta harapan baharu kepada BN, bukan kerana “tiada rakan gabungan”.

Maka, yang diperlukan sekarang bukan menakut-nakutkan Pas dengan bayangan sejarah yang disalah baca, tetapi memastikan PN dibina sebagai gabungan yang lebih berfungsi, lebih berdisiplin, dan lebih meyakinkan.

Sejarah ialah pedoman, akan tetapi pedoman hanya berguna apabila kita membacanya dengan tepat. Jika silap membaca sejarah, silaplah langkah menuju masa depan.

*Dr. Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari, dan pemerhati politik semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!