ATM kerah 500 anggota bersih kawasan banjir

Affendi (tengah) ketika sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir di Pos Kawalan Bomba Taman Sri Muda Shah Alam pada Sabtu.
Affendi (tengah) ketika sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir di Pos Kawalan Bomba Taman Sri Muda Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengerahkan 500 anggota untuk menggerakkan proses bantuan pasca banjir kerja-kerja pembersihan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dan Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya akan menumpukan kepada fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.

Menurutnya, sebelum ini seramai 109 keanggotaan telah digerakkan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pada Sabtu pihaknya melakukan penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan.

"Mereka yang kita gerakkan adalah 'backhoe' dan 'tipper' serta aset tambahan lain yang sesuai dengan kerja-kerja ini diselaraskan bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Kita kini memberi tumpuan di dua lokasi ini dan juga lokasi lain di Pahang yang terjejas banjir," katanya dalam sidang akhbar di lokasi bencana di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai banjir di Pahang, beliau berkata, pihaknya menggerakkan beberapa aset yang mempunyai mobiliti lasak seperti trak tujuh dan tiga tan yang mampu meredah banjir selain bot tempur ATM.

"Di Pahang buat masa kini atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) turut membina jambatan sementara iaitu Compact Bailey Single Lane (CB200) di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan jambatan ini untuk kemudahan 28 keluarga di kampung berkenaan yang terputus hubungan.

"Kerja-kerja pembinaan jambatan akan dimulakan setelah proses tambak tebing selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan," ujarnya.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM masih mengekalkan kekuatan sebanyak satu kompeni membabitkan lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi banjir.