Tuang air ketum atas jalan

Dua lelaki didapati membawa air ketum ketika ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dua lelaki didapati membawa air ketum ketika ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panik melihat sekatan jalan raya (SJR), dua lelaki bertindak menuang air ketum yang dibawa ke atas jalan dalam Ops Motosikal di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut, di sini pada Jumaat.

Dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20an hingga 40an itu didapati membawa air ketum dalam tiga botol minuman ringan bersaiz 1.5 liter dalam raga motosikal yang ditunggang mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya turut menjalankan Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan di beberapa kawasan di ibu negara.

"Secara keseluruhan sebanyak 252 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 24 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Seramai 14 lelaki yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal.

"Hasil semakan, suspek mempunyai 3 rekod lampau berkenaan kes kecurian motosikal sejak dari tahun 2015," katanya.

Sementara itu, seramai lima lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya sambil melakukan aksi zig-zag, superman dan bersaing antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 19 hingga 31 tahun dan mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.

Katanya, kesemua tangkapan akan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.