Banjir: Jumlah mangsa menurun di lima negeri, KL kekal

Jumlah mangsa banjir di 376 PPS di Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur setakat ini adalah seramai 59,844 orang. - Foto Bernama
Jumlah mangsa banjir di 376 PPS di Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur setakat ini adalah seramai 59,844 orang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Selangor, Kelantan, Perak dan Melaka menurun setakat petang tadi namun, jumlah mangsa di ibu negara kekal.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di 376 PPS di Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur setakat ini adalah seramai 59,844 orang.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir menurun kepada 34,971 orang di 259 PPS pada sebelah petang berbanding 35,369 orang tengah hari, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Bhd pula memaklumkan laluan Chenor ke Karak masih belum dibuka di kedua-dua arah, namun trend air menunjukkan penurunan.

Bagi jalan utama lain, antara yang masih terputus hubungan ialah Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau dan Jalan Kota Gelanggi ke Lepar Utara di Jerantut, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dan Jalan Gemas-Temerloh di Temerloh, Jalan Serengkam dan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran serta Jalan Sungai Lembing di Kuantan.

Sementara itu, paras Sungai Pahang di beberapa lokasi seperti di Lubuk Pasu, Temerloh; Water Front di Bera dan di Lubuk Paku, Maran selain Sungai Kundang juga di Maran masih melebihi paras bahaya.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan sebanyak 111 PPS dibuka bagi menempatkan 22,250 mangsa banjir daripada 5,756 keluarga setakat 5.32 jam petang, berbanding 22,332 orang di 109 PPS pada 12.21 tengah hari pada Khamis.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Selangor kini melebihi paras bahaya iaitu 4.34 meter setakat 4.45 petang tadi dengan trend meningkat.

Artikel Berkaitan:

Di Kelantan, jumlah mangsa setakat jam 6 petang ialah 1,496 orang daripada 510 keluarga berbanding 1,521 orang daripada 516 keluarga tengah hari melibatkan lapan PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Perak, setakat 4 petang pada Khamis, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menurun kepada 182 mangsa berbanding 245 orang yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 109 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 73 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Dalam pada itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula lorong kanan di antara KM273.3 dan KM272.2 di jajaran di antara Persimpangan Ipoh Selatan dan Ipoh Utara di Lebuhraya Utara-Selatan hari ini, berikutan penyiapan kerja-kerja membaik pulih lubang benam (sinkhole) di lokasi berkenaan.

Di Melaka, Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 131 mangsa daripada 33 keluarga setakat 4 petang Khamis berbanding 135 mangsa daripada 34 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di dua PPS di Alor Gajah dan Jasin.

Di Kuala Lumpur, menurut aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa kekal 314 orang daripada 74 keluarga di dua PPS setakat ini. - Bernama