MPHTJ buka pusat pengumpulan barangan mangsa banjir di Melaka Mall

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin (depan, dua kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada penerima bantuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Yadim Selebriti, Penyampaian Musa'adah Yadim dan Program Kembali ke Sekolah sempena Bulan Dakwah 2.0 hari ini. - Foto Bernama
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin (depan, dua kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada penerima bantuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Yadim Selebriti, Penyampaian Musa'adah Yadim dan Program Kembali ke Sekolah sempena Bulan Dakwah 2.0 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membuka pusat pengumpulan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang terjejas di Pahang, di Melaka Mall di sini bermula Rabu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, setakat tengah hari Khamis, pihaknya menerima pelbagai sumbangan barangan keperluan daripada orang awam yang dianggarkan bernilai RM10,000.

"Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad semalam melantik MPHTJ untuk mengetuai pasukan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di luar Melaka terutama di Pahang.

"Justeru, saya telah meminta Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat MPHTJ membuka kaunter terbuka untuk orang awam menghantar sumbangan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Yadim Selebriti, Penyampaian Musa'adah Yadim dan Program Kembali ke Sekolah Sempena Bulan Dakwah 2.0 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pusat pengumpulan itu dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 7 malam dan antara barangan keperluan yang disumbangkan ialah tilam, selimut, bantal dan telekung.

Katanya, sumbangan berkenaan akan disalurkan secara berperingkat bermula hujung minggu ini sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan Pahang.

"Kita lihat sikap rakyat bukan sahaja di Melaka tetapi juga di Malaysia sangat prihatin terhadap bencana yang menimpa mangsa banjir dan slogan 'Kita Jaga Kita' juga berkesan dalam usaha bersama menjaga kebajikan sesama rakyat," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini MPHTJ telah menyumbang pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir di Melaka terutama di Alor Gajah dan Jasin sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: