Bantuan mangsa banjir perlu ikut saluran tepat

Ahmad (kanan) menyampaikan sijil graduasi kepada pelajar tahfiz yang terlibat.
Ahmad (kanan) menyampaikan sijil graduasi kepada pelajar tahfiz yang terlibat.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi sumbangan kepada mangsa banjir mengikut saluran yang tepat supaya manfaatnya diterima sebaik mungkin dalam kalangan mereka yang terjejas.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, sebagaimana amalan biasa, bantuan kerajaan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebagainya.

“Cuma kita harap selepas ini ada penyelarasan bantuan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya ia boleh disusun sebaik mungkin agar bentuk bantuan yang diperlukan, di mana perlu disalurkan dan sebagainya dapat dilakukan dengan sempurna.

“Jadi saya nasihatkan kepada mereka yang ingin membantu, ikutlah saluran yang betul, ikut arahan Nadma dan juga agensi yang khusus untuk menyelaras bantuan ini.

“Pengalaman kita di Kuala Krai, baju berlori, akhirnya diletakkan di tempat yang tidak munasabah. Maka ia perlu diselaraskanlah sebaik mungkin mengikut agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita di Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Hotel Grand Renai pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bantuan banjir yang dihulurkan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara terutamanya Selangor dan Pahang.

Mengulas mengenai majlis graduasi berkenaan, Ahmad berkata, kerajaan negeri berharap graduan-graduan yang terlibat boleh menjadi contoh kepada masyarakat dalam menghasilkan remaja yang bermutu dan berakhlak tinggi.

Ahmad semasa menyampaikan ucapan memberitahu, senario semasa menunjukkan gejala keruntuhan akhlak masyarakat kian meruncing dan ini menampakkan kepincangan sistem sosial yang sedia ada dalam menangani arus peningkatan teknologi masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat Islam sudah banyak berubah dalam pelbagai aspek seperti sikap, pemikiran, gaya hidup, ekonomi, akhlak, seni dan budaya.

"Bertitik tolak dari sini, gaya hidup masyarakat kini lebih terdedah kepada aktiviti sosial sedangkan nilai-nilai murni semakin tertutup.

“Namun dengan adanya pelajar-pelajar tahfiz yang bakal membimbing ini sekali gus dapat menjadi contoh dan menambahbaik usaha dalam menangani masalah sosial menerusi bimbingan dan saluran yang betul,” jelasnya.