Banjir: 30 pasukan Cantas banteras kes jenayah pecah premis

Acryl Sani ketika bercakap pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, Seksyen 25, pada Khamis.
Acryl Sani ketika bercakap pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, Seksyen 25, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukit Aman telah mengarahkan 30 pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah untuk membendung kegiatan jenayah pecah premis sama ada kilang dan kedai makanan di kawasan banjir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pasukan itu terdiri daripada 120 pegawai dan anggota.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan tujuh kes dilaporkan di Selangor melibatkan empat kes di Shah Alam, Klang Utara (dua kes) dan satu di Klang Selatan.

"Polis sedia maklum ada pihak yang mengambil kesempatan daripada bencana alam dengan melakukan jenayah itu.

"Pasukan Cantas akan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25 pada Khamis.

Mengulas mengenai insiden cubaan melarikan kenderaan yang terjejas akibat banjir, Acryl Sani berkata, pemandu trak tunda itu telah ditahan.

“Polis sedang menyiasat lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai makanan atau barang keperluan supaya datang ke pusat operasi banjir yang didirikan di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Pusat operasi mempunyai makanan dan bekalan yang mencukupi, mangsa banjir boleh datang dan mengambil, sama ada rakyat tempatan atau warga asing," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa talian MERS 999 tidak dapat dihubungi semasa bencana alam, Acryl Sani berkata, beliau akan menyemak perkara itu.

"Talian itu sepatutnya dihubungi sepanjang masa. Saya akan dapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan itu," katanya.