KPDNHEP tumpaskan aktiviti proses, simpan kartrij percetakan tiruan

Penguat kuasa KPDNHEP menahan dua lelaki dan merampas 79 unit kartrij percetakan tiruan jenama terkenal di Bandar Botanik, Klang pada 15 Disember lalu.
Penguat kuasa KPDNHEP menahan dua lelaki dan merampas 79 unit kartrij percetakan tiruan jenama terkenal di Bandar Botanik, Klang pada 15 Disember lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai dua pekerja lelaki warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang disyaki menjadi tempat memproses dan menyimpan kartrij percetakan tiruan jenama terkenal di Bandar Botanik, Klang pada 15 Disember lalu.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya turut merampas 79 unit kartrij percetakan, 1,815 unit pelekat hologram dan 120 unit cip pintar pelbagai jenama bernilai RM41,724 dalam serbuan pada jam 1.20 petang.

"Serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan berdaftar terbabit berhubung penjualan produk kartrij percetakan jenama terkenal di premis itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, ketika serbuan, seramai dua pekerja sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan kartrij percetakan tersebut dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.

"Kediaman itu dijadikan tempat memproses, membungkus dan menyimpan barangan terbabit dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, hasil pengecaman awal daripada wakil pengadu mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut disyaki tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan kartrij percetakan terbabit.

"Kita turut menyita beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Artikel Berkaitan:

"Kita memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah dengan tidak menjual barangan tiruan seumpama ini bagi mengelak dikenakan tindakan yang tegas di bawah peruntukan undang-undang.

"Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian terutamanya berkaitan kartrij percetakan ini kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian selain mengancam keselamatan pengguna," katanya.