800 sukarelawan dihantar ke Pahang

Sebahagian sumbangan yang diterima dari rakyat Terengganu dan akan dibawa ke Pahang.
Sebahagian sumbangan yang diterima dari rakyat Terengganu dan akan dibawa ke Pahang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 800 sukarelawan di Terengganu akan digerakkan ke Pahang secara berperingkat bermula hari ini bagi melaksanakan misi bantuan di negeri itu yang kini diuji musibah banjir besar hingga menjejaskan lebih 30,000 mangsa.

Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu (JAMNT), Mohd Hasmizie Hasan berkata, misi tersebut melibatkan sukarelawan dari JAMNT dan sayap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pas serta Khidmat Malaysia Terengganu.

“Pasukan peninjau sudah bergerak ke Pahang hari ini (Rabu) bagi mendapatkan gambaran lebih jelas keadaan semasa di sana manakala sukarelawan lain membabitkan 100 orang dari lapan kawasan akan turun bermula pagi esok (Khamis).

“Tumpuan kita adalah bantuan pasca banjir di kawasan terjejas teruk dengan membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing daripada lumpur yang dibawa banjir,” katanya pada Rabu.

Mohd Hasmizie berkata, selain membantu membersihkan rumah mangsa banjir, pihaknya turut membawa bekalan makanan dan air bersih untuk disumbangkan kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, setakat ini sebanyak tiga tan barangan seperti makanan kering, air minuman, tuala wanita dan lampin pakai buang bayi berjaya dikumpulan hasil sumbangan orang ramai sejak Selasa.

Jelas beliau, sumbangan kepada mangsa banjir masih dibuka sehingga minggu depan dan orang ramai yang berminat boleh menghantar barangan ke pusat pengumpulan sumbangan banjir di Batu Enam, Kuala Nerus.

“Sukarelawan JAMNT dan Khidmat Malaysia sentiasa bersedia membantu mangsa sekiranya berlaku bencana di negara ini. Setiap hujung tahun, fokus diberikan kepada banjir dan kali ini kita mendapat arahan membantu penduduk di Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Harapan kita, sumbangan dan khidmat tenaga yang curahkan oleh sukarelawan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban sekali gus memberikan sinar kegembiraan buat mangsa yang kini berduka dengan musibah banjir,” ujarnya.