'PATI berniaga, sewa rumah ganggu warga tempatan' - Altimet

AMPANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet bersama beberapa pemimpin tempatan lain membuat laporan polis berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didakwa menjalankan perniagaan dan menyewa rumah di kawasan itu sehingga menjejaskan ketenteraman penduduk.
Altimet berkata, pihaknya mengesyaki terdapat pemilik kediaman menyewakan premis atau rumah kepada warga asing, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak sah atau palsu.
Katanya, tindakan itu melanggar Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
"Komuniti di Lembah Jaya ini kalau boleh memang kami tidak mahu (PATI). Kami nak elakkan jiran-jiran kita semua juga daripada melakukan kesalahan ini, melanggar undang-undang...kita tak nak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini pada Jumaat.
Altimet berkata, kehadiran peniaga asing yang tidak mempunyai permit sah turut memberi kesan kepada peniaga tempatan berikutan kos operasi perniagaan yang lebih rendah.
"Kalau tanpa izin (PATI) ini menjadi masalah sebab mereka mendapat manfaat tanpa menyumbang apa-apa kepada negara kita, disebabkan mereka tak ada permit apa semua, kos operasi perniagaan mereka jauh lebih rendah.
"Jadi itu sebab mereka (peniaga asing) boleh buang harga. Bila dia buang harga, peniaga tempatan kita yang terkesan. Di Lembah Jaya ini banyak usahawan muda. Ada pak cik yang dah lama berniaga kedai runcit dan sebagainya," ujarnya.
Selain menjejaskan perniagaan penduduk tempatan, beliau berkata, penyewaan kediaman kepada warga asing tanpa dokumen sah turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika bermain di luar rumah.
Altimet berkata, pihaknya menerima aduan mengenai isu berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp atau penduduk yang hadir sendiri ke pejabatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

