Penduduk sifatkan banjir di Mentakab paling buruk

Keadaan rumah milik keluarga Rosilawati di Kampung Batu Kapor di sini yang ditenggelami banjir.
Keadaan rumah milik keluarga Rosilawati di Kampung Batu Kapor di sini yang ditenggelami banjir.
A
A
A

TEMERLOH - Bandar Mentakab lumpuh selepas hampir keseluruhan kawasan dinaiki air secara mendadak bermula Ahad lalu dan kemuncaknya pada Selasa.

Selain kawasan bandar, beberapa taman perumahan dan kampung sekitar kawasan itu turut ditenggelami banjir termasuk Taman Mentakab Indah dan Kampung Batu Kapor yang terjejas teruk sebagaimana yang ditularkan melalui laman sosial Facebook.

Situasi air banjir di Mentakab kali ini didakwa sebagai yang terburuk dan menyamai banjir besar pada tahun 1971.

Pengalaman berdepan banjir besar yang melanda kawasan Mentakab turut dilalui Wartawan Sinar Harian, Rosilawati Rosedi, 40, yang tinggal bersama keluarga di Kampung Batu Kapor di sini.

Dalam situasi banjir yang memuncak itu, keseluruhan rumahnya lenyap ditenggelami banjir.

Rosilawati berkata, banjir kali ini paling teruk dan itu kali pertama dia melihat air naik begitu tinggi hingga seluruh rumahnya tenggelam.

Menurut beliau, air naik terlalu cepat di luar jangkaan dengan keadaan air berarus deras.

"Ini banjir kedua dilalui tahun ini namun dalam kejadian Januari lalu,keadaan tidak seteruk ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Dia yang kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan berkata, kebanyakan penduduk di kampung itu berdepan situasi sama malah rumah di kawasan agak berbukit juga turut terjejas.

"Ibu bapa saya dan warga emas yang pernah berdepan situasi banjir besar di negeri ini pada 1971 menyifatkan banjir kali ini paling teruk," katanya.

Rosilawati berkata, air mula memasuki rumah kira-kira jam 3 pagi pada Ahad menyebabkan banyak barang-barang tidak dapat diselamatkan.

Keadaan rumah milik keluarga Rosilawati di Kampung Batu Kapor di sini yang ditenggelami banjir.
Keadaan rumah milik keluarga Rosilawati di Kampung Batu Kapor di sini yang ditenggelami banjir.

"Memang sedih kerana awal tahun ini sudah banyak kerugian ditanggung selepas rumah mengalami kerosakan selain barang-barang.

"Kali ini sekali lagi terpaksa berdepan situasi sama namun saya reda dan bersyukur semua ahli keluarga serta penduduk selamat.

"Namun agak terkilan kerana enam kucing kesayangan gagal diselamatkan," katanya.

Jelasnya, mangsa banjir yang terlibat dari kampung itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Seri Semantan selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor turut ditenggelami air.

"Saya dan penduduk memang berharap air segera surut dan tidak sabar kembali ke rumah masing-masing walaupun keadaannya mungkin tidak seperti dulu," katanya.

Situasi sama turut dilalui beberapa mangsa lain termasuk Rozila Othman, 60, apabila rumahnya juga ditenggelami banjir.

Rozila berkata, dia dan keluarga segera berpindah selepas melihat keadaan air yang naik begitu cepat dan berarus deras.

"Demi keselamatan, saya dan keluarga segera berpindah hingga kebanyakan barangan dalam rumah gagal diselamatkan," katanya.

Bagi Zainal Ibrahim, 58, dia melalui pengalaman berdepan banjir besar pada 1971 menyifatkan situasi banjir kali ini lebih teruk.

"Pada tahun 1971 saya sudah berusia lapan tahun dan merasai pengalaman pahit ketika itu.

"Namun tak sangka selepas hampir 50 tahun saya sekali lagi melalui bencana banjir besar kali ini dalam keadaan lebih buruk," katanya.

Shahrul Zuber, 33, pula menerima dugaan itu sebagai satu pengalaman pahit yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Kelu dan sedih bila melihat rumah keluarga, saudara-mara serta rakan tenggelam di depan mata," katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat, perkembangan banjir di bandar Mentakab dan kawasan sekitarnya tidak banyak berubah namun paras air bertahan dan menunjukkan sedikit penurunan pada Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Temerloh, Kapten (PA) Muhammad Ikram Harun berkata, paras banjir melanda bandar Mentakab disebabkan air hulu yang turun sehingga berlaku limpahan air Sungai Semantan sejak Ahad.

Menurutnya, air naik secara mendadak dan menjejaskan banyak kawasan.

"Ketika ini keadaan air bertahan dan dijangka surut esok atau lusa memandangkan cuaca baik dan tidak hujan beberapa hari ini.

"Kemungkinan keadaan air yang masih tinggi di Kuala Sungai Semantan menyebabkan limpahan air lambat surut," katanya.