Presiden Palestin gesa Israel mulakan semula proses damai tertangguh

Mahmoud - Foto AP/Majdi Mohammed
Mahmoud - Foto AP/Majdi Mohammed
A
A
A

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Selasa menggesa Israel melaksanakan perjanjian yang telah dimeterai dengan Palestin dan meneruskan proses damai Timur Tengah, yang sudah terhenti sejak tujuh tahun lalu, lapor Xinhua.

Abbas membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan Pemangku Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Near Eastern Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Yael Lempert, di Ramallah Tebing Barat, memetik Agensi Berita WAFA.

Pada pertemuan itu Abbas turut memberi taklimat mengenai perkembangan terkini di wilayah Palestin, terutamanya amalan sepihak Israel terhadap Palestin yang menjejaskan penyelesaian dua negara.

“Adalah perlu untuk menghentikan langkah Israel dan melaksanakan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak bagi memulakan proses politik sebenar berdasarkan pelaksanaan resolusi antarabangsa,” kata Abbas.

Pertemuan Abbas dengan Lempert itu diadakan sehari sebelum pertemuannya dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan yang tiba di Israel pada Selasa untuk membincangkan beberapa isu, termasuk proses damai tersebut.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin terhenti pada akhir Mac 2014 disebabkan perbezaan pandangan mengenai isu penempatan Yahudi dan pengiktirafan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: