Gagal peroleh majoriti, Netanyahu dakwa pilihan raya Israel 'dicuri'

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa pilihan raya umum negaranya pada 27 Oktober lalu dicuri menerusi penipuan, pembelian undi dan pembiayaan asing selepas blok pimpinannya gagal memperoleh majoriti Parlimen.
Bagaimanapun, dakwaan itu belum disokong bukti yang mencukupi, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Israel menegaskan proses pengundian berlangsung secara sah tanpa petunjuk penyelewengan sistematik.
Menurut laporan CNN, Netanyahu dan sekutunya meningkatkan tekanan supaya siasatan dijalankan terhadap dua kumpulan parti Arab, Joint List dan Ra'am, yang mencatatkan peningkatan sokongan luar biasa dalam pilihan raya berkenaan.
Blok Netanyahu hanya memperoleh 53 daripada 120 kerusi Knesset, manakala pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot memenangi 48 kerusi.
Kedua-duanya gagal mencapai majoriti minimum 61 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Sebaliknya, parti Arab meraih 19 kerusi, sekali gus muncul sebagai pihak yang berpotensi menentukan pembentukan kerajaan baharu.
Sekiranya semua wakil Arab menyokong Eisenkot, gabungan tersebut secara matematik mampu memperoleh 67 kerusi, mencukupi untuk menamatkan pemerintahan Netanyahu.
Bagaimanapun, kerjasama itu masih belum dipersetujui oleh parti terbabit.
Pertikaian semakin memuncak apabila Netanyahu dan sekutunya mendakwa wujud kegiatan membeli undi serta campur tangan asing yang didakwa bertujuan meningkatkan sokongan terhadap parti Arab.
Beberapa pemimpin berhaluan kanan turut menggesa penahanan pemimpin parti berkenaan, manakala Qatar dituduh menyediakan pembiayaan bagi mempengaruhi pengundian.
Doha bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Noam Sohlberg meminta agensi keselamatan Shin Bet menyiasat maklumat berkaitan kemungkinan campur tangan asing.
Namun, beliau menjelaskan bahawa kesahihan maklumat tersebut belum dapat dipastikan.
Pihak berkuasa pilihan raya kemudian menolak dakwaan bahawa keseluruhan keputusan pengundian telah dikompromi.
Sohlberg turut menegaskan keputusan rakyat melalui peti undi akan dihormati.
Sementara itu, Eisenkot menyifatkan tuduhan Netanyahu sebagai usaha menjejaskan kesahihan keputusan pilihan raya dan menyukarkan pembentukan kerajaan alternatif.
Joint List pula menegaskan kejayaan pengundi Arab tidak boleh dipadamkan melalui kempen yang mempertikaikan hak serta suara politik mereka.
Kebuntuan itu meletakkan Israel dalam ketidaktentuan apabila rundingan pembentukan kerajaan dijangka berlangsung selama beberapa minggu, dengan kemungkinan pilihan raya baharu sekiranya tiada gabungan berjaya memperoleh majoriti. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

