Banjir: SAR dua lagi mangsa disambung esok

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusry Abdullah Sani pada sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang telah dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort, pada Selasa. - Foto Bernama
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusry Abdullah Sani pada sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang telah dibawa arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa dalam kejadian tiga individu dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet sebuah pusat peranginan di sini kini ditumpukan kepada kawasan tepi sungai dan bahagian dapur rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani berkata, pencarian di kedua-dua lokasi berkenaan akan dilaksanakan esok.

Beliau berkata, tumpuan di tepi sungai bagi mencari kanak-kanak lelaki enam tahun Emmanuel Chang manakala di bahagian dapur pula untuk menjejaki Bobby Lim Yoke Hoong.

“Sebelum ini, kami menemui satu kawasan positif (keberadaan) Emmanuel yang dikesan oleh anjing K-9 namun setelah hari ini menggunakan jengkaut di lokasi itu, tidak menemui sebarang petunjuk kanak-kanak itu berada di bawah chalet itu," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Yusry berkata, pencarian Bobby akan difokuskan kepada bahagian dapur rumah yang dipercayai lokasi terakhir mangsa berada.

"Kami telah meninjau kawasan dapur rumah berkenaan dan mendapati pasir tebal setinggi dua meter memenuhi ruang kawasan berkenaan serta dipenuhi kayu-kayan," katanya.

Mengenai cabaran mencari mangsa pada hari ketiga ini, beliau berkata, faktor cuaca memainkan peranan penting dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan sekiranya hujan atas faktor keselamatan kerana terdapat satu air terjun di atas.

Beliau berkata, operasi SAR pada Selasa ditangguh pada 7 malam dan akan bersambung pada 8.30 pagi Rabu. Operasi SAR melibatkan 62 kekuatan anggota terdiri daripada bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan polis.

Artikel Berkaitan:

Mayat seorang wanita ditemui pada 10.15 pagi Selasa, mangsa dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 66.

Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan chalet di Bentong, Pahang.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel serta pasangan suami isteri, Bobby dan Yap dilaporkan hilang dalam insiden itu. - Bernama