30 masjid, 60 surau di Selangor rosak akibat banjir

Penduduk membersihkan Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai di Hulu Langat selepas banjir mulai surut ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
Penduduk membersihkan Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai di Hulu Langat selepas banjir mulai surut ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama terjejas teruk apabila mengalami kerosakan hingga memerlukan penyelenggaraan serta baik pulih segera berikutan banjir melanda di enam daerah di negeri ini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hampir keseluruhan harta benda rosak akibat kejadian itu.

"Karpet masjid dan surau rosak, kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabot, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja-kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Shahzihan berkata, institusi sekolah agama di bawah seliaan jabatan juga menghadapi situasi sama.

Beliau memberitahu, JAIS menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah yang terlibat akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor mula naik sejak pertengahan malam Ahad.

Justeru, katanya, selaras dengan tanggungjawab JAIS dalam perkara-perkara berkaitan dengan situasi kritikal yang berlaku, jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah telah ditubuhkan serta-merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya, jawatankuasa khas JAIS melibatkan Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

"Jawatankuasa yang bermesyuarat pagi tadi (Isnin) telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca bencana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sehingga Isnin, JAIS telah mengenal pasti jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, bantuan keperluan makanan basah di semua PPS di 36 buah masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah RM250,000.

"TIJARI, LZS dan TERAS turut akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain.

"Turut diputuskan kelengkapan pembersihan oleh pihak MAIS dan penggantian karpet masjid dan surau yang terjejas," katanya.

Selain itu, katanya, jawatankuasa turut memutuskan bagi mewujudkan serta merta Bilik Gerakan Khas yang akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi melalui talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.

"Jawatankuasa turut menetapkan untuk mewujudkan pasukan anggota sukarelawan membantu kerja-kerja pembersihan, penyisihan dan pembuangan.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pasukan sukarelawan atau mana-mana individu diharap dapat bersama dalam menyertai pasukan sukarelawan ini dengan menghubungi bilik gerakan khas untuk tindakan lanjut jabatan ini.

Katanya, JAIS turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Negeri Selangor bagi memudahkan masyarakat menghulurkan bantuan khusus kepada institusi masjid, surau dan sekolah yang terjejas.

"Sumbangan boleh disalurkan terus ke TIJARI di akaun MayBank 562106-718620.

"Tabung ini akan dibuka untuk tempoh sebulan mulai hari ini (Isnin) sehingga 20 Januari tahun depan," katanya.