Pahang lulus RM25,000 baik pulih surau di Mesir

Wan Rosdy bersama 350 anak-anak Pahang sedang mengikuti pengajian di negara itu dalam pelbagai bidang pengajian di Mesir.
Wan Rosdy bersama 350 anak-anak Pahang sedang mengikuti pengajian di negara itu dalam pelbagai bidang pengajian di Mesir.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM25,000 bagi menambah baik kelengkapan Surau Syeikh Abdul Halim Mahmud, Kompleks Indera Mahkota di Hayy Asyir, Kaherah di Mesir.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Beliau berkata, peruntukan itu diberikan bagi membeli kelengkapan di dalam surau berkenaan seperti karpet dan peralatan siaraya.

“Saya dimaklumkan surau ini telah beroperasi sejak tahun 1996 bagi kegunaan pelajar yang boleh memuatkan sehingga 300 orang.

"Sepanjang saya bersama mereka saya dapati mereka semua tenang dan gembira sepanjang berada di bumi Mesir,” katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy hadir pada Majlis Makan Malam di Kaherah, Mesir bersama pelajar dan delegasi dari Pahang.

Beliau memaklumkan, Kerajaan Pahang turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang dan RM10,000 lagi disumbangkan kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir.

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada wakil pertubuhan pada Majlis Makan Malam di Kaherah, Mesir bersama pelajar dan delegasi dari Kerajaan Pahang.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada wakil pertubuhan pada Majlis Makan Malam di Kaherah, Mesir bersama pelajar dan delegasi dari Kerajaan Pahang.

Katanya, sumbangan itu diberikan bagi membolehkan badan itu menjalankan aktiviti yang memanfaatkan anak-anak Pahang di Mesir.

“Saya dimaklumkan seramai 350 anak-anak Pahang sedang mengikuti pengajian di negara itu dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya,

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan khas sebanyak AS$100 (RM460) daripada Kerajaan Pahang kepada setiap pelajar Pahang di negara itu.

"Saya menasihati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga menamatkan pengajian dengan cemerlang supaya dapat menyebarkan ilmu yang telah dipelajari kepada masyarakat di tanah air.

“Semoga anak-anak pelajar dapat bersabar dan tabah mengharungi segala bentuk ujian dan cabaran terutama ketika berjauhan dengan keluarga tercinta,” katanya.