Mangsa banjir di PPS dinasihat jalani ujian kendiri Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan urus setia atau sukarelawan di pusat perlindungan termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu, dan mengasingkan kes yang dikesan positif Covid-19 secepat mungkin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah juga perlu dimaklumkan dengan menghubungi talian ‘hotline’ yang disediakan supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

“KKM faham sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa, tetapi berharap semua individu sama ada mangsa banjir, sukarelawan atau anggota penyelamat dapat mematuhi SOP sebaik mungkin, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

“KKM akan terus memantau jangkitan Covid-19 di PPS dan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, peningkatan kes positif Covid-19 dijangka berlaku di PPS seluruh negara, kerana pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa sama KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS terutama di PPS yang besar, dengan membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir.

Menurutnya, ujian saringan Covid-19 juga dilakukan ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan Covid-19, serta memastikan tiada penularan berlaku di PPS.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, 72 fasiliti kesihatan telah terjejas akibat banjir iaitu 43 di Pahang, 20 di Selangor, lapan di Kelantan dan satu di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan fasiliti kesihatan terputus hubungan namun beroperasi dan 21 fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi iaitu 20 di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini juga tiada kes ‘acute gastroenteritis’ (AGE), tifoid, kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.

“Sehingga tengah hari tadi (Isnin), 78 mangsa banjir diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS. Daripada jumlah tersebut, 13 kes dalam kategori penyakit berjangkit, lima kes infeksi saluran nafas bawah akut (ARI), lapan kes jangkitan kulit dan 65 adalah penyakit tak berjangkit,” katanya. - Bernama