Semua hutan lipur di Negeri Sembilan ditutup sementara

Semua hutan lipur di Negeri Sembilan ditutup sementara kepada semua pengunjung atas faktor keselamatan. - Foto Bernama
Semua hutan lipur di Negeri Sembilan ditutup sementara kepada semua pengunjung atas faktor keselamatan. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Semua hutan lipur di negeri ini ditutup sementara bermula Isnin hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan susulan bencana banjir ketika ini, kata Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin.

Beliau berkata, hutan lipur terbabit ditutup kepada semua pengunjung atas faktor keselamatan disebabkan cuaca sekarang yang boleh mendatangkan bahaya seperti kejadian kepala air, tanah runtuh dan pokok tumbang.

"Kita menasihatkan supaya orang ramai tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Bernama.

Saleh berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengambil tindakan awal menutup Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu bagi sebarang aktiviti pendakian dan perkhemahan atas faktor cuaca.

Jelas beliau, pihaknya sedang menilai kerosakan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu disebabkan kejadian tanah runtuh baru-baru ini yang merosakkan beberapa infrastruktur di sana.

Sementara itu, Ketua Kampung Amar Penghulu, Maryani Chembeng berkata, kejadian tanah runtuh dan banjir di Taman Eko Rimba Jeram Toi dan kawasan sekitarnya itu telah merosakkan banyak infrastruktur.

"Banyak infrastruktur di Jeram Toi turut musnah dalam kejadian itu termasuk sederet gerai makan dan kolam mandi kanak-kanak. Pintu gerbang turut lenyap selain jambatan dan laluan di jeram berkenaan juga mengalami kerosakan.

"Longgokan kayu dan pokok besar yang hanyut dari hutan 'membanjiri' kawasan sungai Jeram Toi dan ia turut dihanyutkan ke kawasan halaman kampung penduduk yang berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kejadian banjir kali ini adalah kedua terburuk selepas 1971 yang pernah dialaminya sejak menetap di kampung itu selama 56 tahun.

Jelasnya, kawasan itu dahulu mempunyai pemandangan cantik dan air sungai yang jernih kini bertukar berlumpur.

"Kita berharap ada usaha untuk memastikan masalah banjir seperti ini tidak berulang dan kawasan Jeram Toi ini dapat dipulihkan semula kerana ia merupakan antara tempat tumpuan orang ramai setiap kali bercuti ke negeri ini," katanya. - Bernama