Penduduk enggan pindah sukarkan operasi menyelamat

Keengganan penduduk di sesetengah kawasan banjir termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini untuk berpindah awal menyebabkan ramai mangsa banjir yang terkandas. Foto Bernama
Keengganan penduduk di sesetengah kawasan banjir termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini untuk berpindah awal menyebabkan ramai mangsa banjir yang terkandas. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Keengganan penduduk di sesetengah kawasan banjir termasuk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini untuk berpindah awal menyebabkan ramai mangsa banjir yang terkandas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia menyebabkan kesukaran bagi operasi menyelamat dan menyebabkan agihan bantuan agak lambat.

Disebabkan itu katanya, beliau terpaksa mengarahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis menambahkan kekuatan anggota di kawasan yang terlibat.

"Penyediaan makanan misalnya, dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi ia sukar diagihkan. Ada keadaan, mangsa duduk di atas bumbung dan bila pasukan penyelamat datang mereka tak nak pindah tapi hanya nak bekalan makanan.

"Mungkin mereka merasakan banjir ini sekejap sahaja kerana nampak hujan sudah tidak turun. Ada juga yang takutkan penularan Covid-19.

"Di pihak kita sendiri, kita akui agak lambat sedikit kerana bukan mudah untuk diuruskan kerana membabitkan 4,400 rumah di Taman Sri Muda sahaja dan masih ada lagi kawasan-kawasan yang dinaiki air belum surut.

Artikel Berkaitan:

Reezal (tengah) diberi taklimat oleh pasukan bomba.
Reezal (tengah) diberi taklimat oleh pasukan bomba.

"Kita telah kerahkan lebih ramai anggota termasuk bantuan daripada bomba Kuala Lumpur dan bomba sukarela. Aset-aset yang ada di sini adalah aset yang lengkap, dengan 41 bot yang ditempatkan di Taman Seri Muda sahaja. Selain itu, agihan makanan dan perubatan sedang giat dilakukan," katanya dalam sidang akhbar tentang situasi semasa banjir di Pos Kawalan Operasi Bomba, Persiaran Kemuning Prima, di sini pada Isnin.

Turut serta, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Beliau menambah, 1,800 pegawai dan anggota bomba dikerahkan untuk operasi banjir di negeri ini, termasuk 70 orang di Taman Sri Muda.

Tambahnya, di Taman Sri Muda, sejumlah 321 petugas dan pasukan penyelamat merangkumi bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam, NADMA, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Petaling, Skuad Bantuan Krisis MCA dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim antara cabaran utama yang dihadapi ialah persediaan orang ramai untuk menghadapi banjir luar jangka kali ini.

Berbanding di negeri-negeri lain khususnya Pantai Timur, penduduk di negeri terlibat sudah bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan kemungkinan berlaku beberapa episod banjir.