Insiden LRT bertembung catat sejarah hitam pengangkutan awam negara

Insiden pada 24 Mei, kira-kira 8.45 malam di laluan Kelana Jaya di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru itu disifatkan terburuk di negara ini.
Insiden pada 24 Mei, kira-kira 8.45 malam di laluan Kelana Jaya di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru itu disifatkan terburuk di negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang pertama kali berlaku sepanjang 23 tahun sejarah operasi pengangkutan awam itu menjadi antara peristiwa hitam yang menggemparkan negara khususnya di ibu kota tahun ini.

Insiden pada 24 Mei, kira-kira 8.45 malam di laluan Kelana Jaya di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru itu disifatkan terburuk di negara ini khususnya melibatkan pengangkutan rel apabila merekodkan kecederaan penumpang yang tinggi dengan 260 orang termasuk 47 cedera parah.

Memburukkan lagi keadaan, insiden itu berlaku ketika negara berdepan gelombang pandemik Covid-19 yang secara tidak langsung menambah beban petugas barisan hadapan khususnya di hospital yang sedang ‘berjuang’ menangani virus tersebut.

Insiden yang berpunca daripada masalah teknikal itu turut membuka mata orang ramai bahawa perkhidmatan LRT yang dianggap paling selamat sebenarnya turut tidak terkecuali daripada ditimpa musibah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Insiden LRT: 47 penumpang parah

Insiden LRT: PM arah siasatan segera

Ini juga secara tidak langsung menambah cabaran pengendali dalam usaha meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula pengangkutan awam setelah mengalami pengurangan penumpang sehingga 40 peratus pada awal penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan yang mewujudkan pasukan panel penyiasat khas mencadangkan 23 pelaksanaan bagi memantapkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sistem keselamatan, operasi, tenaga kerja dan penyelenggaraan rel untuk perkhidmatan LRT bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Insiden itu juga menyebabkan keluarga mangsa yang cedera parah mengemukakan Notis Tuntutan Undang-Undang terhadap pemilik pengangkutan awam negara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi mendapatkan pampasan dan ganti rugi kecuaian berjumlah RM1.8 juta.

Insiden hitam itu turut menyaksikan penamatan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana dua hari kemudian.

Ketika isu keselamatan LRT belum reda dan masih hangat diperkata, berlaku satu lagi insiden membabitkan LRT apabila pintu tren terbuka ketika membawa penumbang pada 26 Julai lepas namun tiada kecederaan dilaporkan.

Tiga hari selepas itu, seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut tertimbus dalam insiden runtuhan perancah pembinaan laluan LRT 3 di Bukit Tinggi, Klang.

Bagaimanapun, kerajaan terus menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam melalui beberapa inisiatif antaranya memperluas Pas Perjalanan Tanpa Had My30 dan pelancaran Pas Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Projek perintis bas elektrik oleh perkhidmatan bas percuma GoKL turut dilancarkan dan mula beroperasi pada 1 November lepas di Wangsa Maju sebagai usaha ke arah pengurangan karbon di ibu negara menjelang 2030.- Bernama