Isu perumahan 245 keluarga di Selangor selesai minggu depan

Kor Ming (lima dari kanan) menyerahkan cek berjumlah RM72,000 kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan pada Jumaat.
Kor Ming (lima dari kanan) menyerahkan cek berjumlah RM72,000 kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan bahawa isu perumahan yang membelenggu 245 keluarga di lima estet di Hulu Selangor akan ditamatkan, minggu depan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penduduk dari Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar berhadapan isu perumahan serta pengusiran paksa sejak 26 tahun lalu.

"Masalah ini wujud sejak 1998 dan tidak selesai lagi. Di bawah Kerajaan Malaysia Madani dengan jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor. Maka minggu depan kita akan bawa satu berita baik, masalah perumahan telah berlarutan sekian lama kini sudah sampai ke penghujungnya.

"Berita baik ini akan melibatkan peruntukan besar ditunggu-tunggu komuniti India itu akhirnya dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Bandaran di sini pada Jumaat.

Media melaporkan penduduk dari lima ladang di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu mendakwa sudah serik 'ditipu' berkali-kali apabila rumah untuk 245 keluarga masih belum dapat dibina meskipun tapak telah disediakan oleh bekas majikan.

Ekoran itu, penduduk telah meletakkan syarat jika ada mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada hari pengundian 11 Mei ini perlu membuat perakuan berkanun (SD) bagi menunaikan segala janji yang ditabur.

Terdahulu, Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM42.65 juta bagi sekolah, masjid dan surau serta pembangunan kawasan Teluk Intan.

Beliau berkata, jumlah tersebut termasuk RM35 juta peruntukan bagi kerja pembinaan jambatan baharu dari Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan yang akan bermula pada Julai ini.

Artikel Berkaitan:

"Apabila jambatan sepanjang 200 meter ini siap sepenuhnya ia memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

"Ia juga akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sejauh 2.4 kilometer sepanjang menuju ke jambatan itu sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pelancongan daerah Hilir Perak," katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM1.7 juta peruntukan telah disalurkan untuk 45 sekolah kerajaan di daerah Hilir Perak.

"RM 2.5 juta kepada Kampung Bahagia yang dijadikan Kampung Angkat Madani dan RM2.5 juta lagi bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan Jambatan Batak Rabit.

"Peruntukan masjid dan surau Pejabat Menteri Besar Perak 2023 pula sebanyak RM865,232 dan RM72,000 pula kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan," katanya.