Pencemaran terkawal, tak perlu isytihar darurat: MB Johor

Osman (dua, kiri) pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini sebentar tadi.
Osman (dua, kiri) pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini sebentar tadi.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor mengesahkan situasi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang tidak sehingga perlu diisytiharkan sebagai darurat kerana masih dalam keadaan terkawal.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, pengesahan itu berdasarkan laporan-laporan daripada jabatan berkaitan berhubung kejadian tersebut.

“Sebenarnya benda ini tidak ada menjejaskan begitu teruk kalau kita lihat pada hari ini. Cuma beberapa tempat. Ini pun bukan sepanjang masa, mengikut keadaan. Kadang-Kadang semasa panas itu, mungkin haba itu naik.

“Kita lihat dalam setiap laporan-laporan jabatan-jabatan ini, ini bukan satu perkara yang kita boleh anggap sehingga ada macam kita kena ‘declare’ darurat dan sebagainya, tidak. Jauh daripada itu, dalam keadaan yang terkawal,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini sebentar tadi.

Osman berkata, mengikut bancian yang dibuat oleh pejabat pendidikan terdapat 42 sekolah di kawasan tersebut, namun bukan semua murid sekolah terjejas kerana pencemaran itu.

“Kita hendak cuba supaya benda ini tidak merebak kepada murid lain, kita tutup sementara. Itu pun sementara. Saya rasa dalam empat lima hari selepas kita ambil tindakan ini akan pulih.

“Kita akan menilai dari masa ke semasa. Kita akan bagi laporan mengikut kepada laporan-laporan jabatan-jabatan tertentu, pakar-pakar tertentu pukul 9 pagi dan juga 6 petang, kita akan melaporkan,” katanya.

Ditanya sama ada penduduk yang tinggal kawasan berhampiran perlu dipindahkan, beliau berkata, kawasan perumahan dimaksudkan tidak terjejas, sebaliknya hanya sekolah-sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Kerana sekolah ini dia terdedah. Rumah ini dia tutup pintu dan sebagainya. Dan mereka yang duduk di rumah ini, biasanya dia tidak keluar sewaktu siang hari dan sebagainya. Dan sebahagian daripadanya kerja.

“Kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini dia tidak begitu terjejas. Hanya yang terjejas sikit adalah sekolah,” katanya.

Menurutnya, evakuasi penduduk tidak akan dibuat sementara waktu ini.