Sabar dan reda hadapi musibah tanpa diduga

Keadaan jalan utama ke Seksyen 25 yang dinaiki air ekoran banjir kilat yang berlaku sejak Jumaat lalu ketika tinjauan fotoBernama di sini pada Ahad. - Foto Bernama
Keadaan jalan utama ke Seksyen 25 yang dinaiki air ekoran banjir kilat yang berlaku sejak Jumaat lalu ketika tinjauan fotoBernama di sini pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PADA ketika kita masih lagi dicengkam dengan ancaman Covid-19, negara dikejutkan dengan musibah banjir yang melanda Lembah Klang khususnya di Selangor sejak Sabtu lalu.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat telah menyebabkan kawasan rendah di beberapa daerah di Selangor dinaiki air.

Malah, beberapa laluan lebuh raya dan jalan raya terhalang selain beberapa plaza tol turut ditutup.

Semakan info trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati lebuh raya dan plaza tol yang terbabit adalah Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Plaza Tol Shah Alam serta Plaza Tol Bukit Raja.

Pusat bandar raya Kuala Lumpur juga terkesan akibat banjir.

Empat sungai utama telah merentasi paras bahaya iaitu Sungai Batu di Sentul, Sungai Klang di Tun Perak, Sungai Gombak di Jalan Tun Razak dan Sungai Kerayong di Razak Mansion.

Itu antara senario yang berlaku di Lembah Klang − musibah yang tak diduga di saat kita sedang menghitung hari untuk meninggalkan kalendar 2021.

Belum reda dengan krisis Covid-19, warga Lembah Klang diduga dengan satu lagi ujian ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Bencana alam yang berlaku ketika ini memberi tamparan hebat terutamanya kepada mereka yang menjadi mangsa.

Keadaan bertambah buruk apabila Covid-19 masih lagi mengganas.

Maka, apabila dua musibah datang serentak, ia cukup menggetarkan jiwa.

Dalam kalangan mangsa, mungkin ada yang kali pertama mengalami situasi seumpama itu.

Mungkin ada juga sudah beberapa kali menghadapi ujian sama. Apa yang pasti − tiada siapa yang mahukan perkara sedemikian menimpa mereka.

Tidak kiralah siapa pun mereka, hanya insan yang cekal dan tabah mampu mengharungi detik mencemaskan sebegini.

Gara-gara banjir, ada mangsa yang hilang tempat tinggal dan pastinya yang paling menyedihkan adalah kehilangan nyawa orang tersayang.

Memang benar, musibah yang datang ini satu ujian yang berat.

Namun, sebagai hamba ALLAH SWT, kita perlu mengharunginya dengan penuh sabar dan tawakal.

Harapnya, kita semua terus kuat untuk menghabiskan momen 2021 yang masih berbaki 12 hari.