Penuntut IPT jadi mangsa ‘keldai akaun’

A
A
A
KUALA TERENGGANU- Lebih 50 peratus pelajar, khususnya penuntut institut pengajian tinggi menjadi mangsa ‘keldai akaun’ apabila akaun mereka digunakan pihak ketiga bagi transaksi jenayah siber.

Pengarah LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, ramai daripada mangsa yang tidak menyedari akaun mereka dimanipulasi bagi pemindahan wang jenayah untuk sindiket penipuan komersial.

Menurutnya, golongan ibu tunggal juga antara yang kerap menjadi mangsa.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa ‘menumpangkan’ akaun bagi membantu kenalan dan orang lain tanpa memikirkan risikonya sehingga menjerat diri mereka sendiri. Ada juga yang gelap mata dengan tawaran upah mencecah ribuan ringgit.

“Kita ingin tekankan bahawa tidak boleh membuka akaun lain untuk orang lain pakai. Lebih parah jika tindakan menumpangkan akaun bagi aktiviti menyalahi undang-undang adalah berisiko kerana pemilik akaun itu sendiri boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Jangan sesekali menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak ketiga yang boleh digunakan bagi tujuan kegiatan jenayah. Persepsi sekadar menumpang akaun ini sebenarnya hanya akan menjerat pemilik akaun itu sendiri. Apabila ditahan, mereka sendiri yang akan didakwa walaupun bukan mereka yang lakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media berkaitan Karnival Kewangan Terengganu di BNM cawangan Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara implikasi yang diterima mangsa adalah disenarai hitam, sekali gus menyebabkan masa depan mereka tergugat.

“Sekarang ini kita proaktif turun padang, khususnya ke institut pengajian tinggi bagi memberi kesedaran kerana isu jenayah kewangan ini terlalu senang untuk menjadi mangsa,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kebanyakan mangsa bagi kes ‘scam’ dan skim cepat kaya adalah penjawat awam seperti polis, jururawat dan pesara kerajaan.

Jelas Arlina, ia melibatkan kerugian yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun menyebabkan pihaknya bekerja keras bersama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjejak pihak berkenaan, namun sukar.

“Kebanyakan kes apabila dibuat serbuan, tempat itu sudah kosong atau berpangkalan luar negara. Sehingga sekarang, sukar untuk kita cari penyelesaian, sebab itu apa yang diperlukan adalah kesedaran masyarakat tentang bahaya jenayah kewangan ini.

“BNM sendiri ada senarai Financial Consumer Alert (FCA), yang mana kami senaraikan kira-kira 400 syarikat yang kami syak ada membuat skim cepat kaya atau apa-apa jenayah kewangan. Ia boleh didapati dalam laman web BNM,” katanya.

-ends-

Keterangan gambar:

1. Arlina (dua kiri) ketika sidang media berkaitan Karnival Kewangan Terengganu di sini, hari ini.

2. DATIN ARLINA ARIFF.