5,731 PPS dikenal pasti mampu tampung 1.63 juta mangsa bencana banjir

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

"Setakat jam 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

"Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Rina berkata, bagi menangani penularan Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Beliau berkata, kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

"Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi," katanya.

Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: