Gejala korupsi sudah lama membarah, berakar umbi

Foto 123rf (Gambar kecil: Muhammad NurSyahmi)
Foto 123rf (Gambar kecil: Muhammad NurSyahmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya rasuah di Malaysia sudah lama berakar umbi dan membarah dalam kalangan masyarakat serta perlu dibanteras segera di setiap peringkat.

Pengerusi Majlis Politik Nasional (Gamis), Muhammad NurSyahmi Shaare berkata, rasuah merupakan jenayah yang akan merosakkan sistem masyarakat dan komuniti sehingga hilang kesedaran atau sifat integriti.

Beliau berpendapat, tahap kesedaran masyarakat juga masih rendah kerana rasuah dianggap perbuatan normal dan pelakunya yakin tiada tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya dilakukan secara terselindung.

“Perkara yang paling ditakuti ialah ramai anak muda mula terjebak dengan rasuah dan menormalisasikannya,” kata beliau kepada kru Rasuah Busters, baru-baru ini.

Tambah NurSyahmi, untuk mengekang budaya rasuah, pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan dalam memberikan kesedaran dan menganjurkan program membanteras rasuah.

“Setiap individu perlu ada ilmu pengetahuan untuk mengelakkan diri daripada terjebak rasuah.

“Selalunya rasuah ini terjadi tanpa sengaja kerana tanpa kita sedari bahasa-bahasa yang digunakan sangat dekat dengan masyarakat contohnya, bahasa ‘duit kopi, ‘duit tepi’.

“Bahasa-bahasa ini terlalu sinonim dalam kalangan masyarakat dan sudah lama dinormalisasikan,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

NurSyahmi berkata, antara inisiatif yang boleh diambil ialah memperbanyakkan kursus atau kempen antirasuah yang selalunya dilaksanakan di pejabat kerajaan dan swasta, sekolah, universiti serta di kawasan komuniti.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu menekankan tindakan undang-undang yang akan diambil sekiranya seseorang individu terlibat rasuah.