PRN Sarawak: PKR, GPS, PDP antara dikompaun langgar SOP

Aidi (dua kanan) pada sidang media Operasi (OP) PRN12 yang diadakan di Pusat Media IPK Sarawak, Jumaat.
Aidi (dua kanan) pada sidang media Operasi (OP) PRN12 yang diadakan di Pusat Media IPK Sarawak, Jumaat.
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) sejak 6 hingga 16 Disember membabitkan nilai wang berjumlah RM36,000.

Perkara itu didedahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail pada pada sidang media Operasi (OP) PRN12 yang diadakan di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merekodkan empat kompaun diikuti, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga kompaun, Parti Demokratik Progresif (PDP) serta calon bebas masing-masing satu kompaun.

"Sementara itu, dua lagi kompaun dikeluarkan ke atas pihak yang tidak berkaitan mana-mana parti dan kesemua SOP tersebut telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)," katanya.

Dalam pada itu kata Aidi, proses pemantauan akan berterusan sehingga jam 12 tengah malam termasuk pada saat buang undi dibuat.

"Kepada mana-mana calon yang berdegil dan masih berkempen selepas 12 tengah malam, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.

Aidi turut mendedahkan setakat ini, sebanyak 185 laporan polis diterima berkaitan PRN12 dan 71 kertas siasatan dibuka dengan siasatan kes khianat paling banyak iaitu 23 kes, diikuti fitnah; 12 kes dan menggunakan media sosial menyebarkan berita palsu; enam kes.

Bagaimanapun jelas beliau, belum ada saksi yang dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung laporan kesalahan SOP PRN12.

Artikel Berkaitan:

Selain itu kata Aidi, PDRM Kontijen Sarawak telah siap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) termasuk menggerakkan anggota dari luar kontijen bagi membantu kelancaran proses pada hari mengundi esok.

Ujarnya, ia akan melibatkan seramai 7,434 anggota PDRM Kontijen Sarawak diikuti, 333 anggota luar kontijen serta 3,152 anggota daripada Sukarelawan Simpanan (SS) PDRM, Polis Bantuan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Tugas utama kesemua petugas adalah mengawal keselamatan di semua 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran mengundi esok hari (18 Disember) selain membantu memastikan proses berjalan lancar dan selamat," katanya.

Beberapa pasukan lain katanya, akan turut ditubuhkan iaitu sebanyak 47 pasukan OP Cantas daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan sebanyak 109 pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan akta kesalahan PRN.

Empat pasukan Pemantau Udara terdiri daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut diatur gerak diikuti, 47 Unit Pasukan 'Light Strike Force' (LSF), empat Pasukan Unit Perintah Awam dan Rusuhan (PORU) serta pasukan Pencegahan Jenayah Daerah.

"Sementara itu, sebanyak 3,654 permohonan permit telah diterima pihaknya daripada calon-calon yang bertanding bagi tempoh 6 hingga 16 Disember lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 3,643 diluluskan manakala 11 permohonan ditolak atas sebab keselamatan dan lokasi ceramah atau berkempen yang tidak sesuai," katanya.

-Tamat-