[VIDEO] PRN: Penyokong PKR tolak calon Ampangan?

A
A
A

SEREMBAN - Suasana Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan di sini pada malam Ahad sedikit panas apabila beberapa penyokong PKR menjerit dengan perkataan 'tukar Ampangan'.

Tindakan itu difahamkan selepas mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan Ketua Wanita Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang dipilih sebagai calon Ampangan.

Kumpulan terbabit yang pada awalnya duduk di bahagian belakang dewan, kemudian pergi ke bahagian hadapan bertemu dengan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook dipercayai bagi menyatakan ketidakpuasan hati itu.

Kumpulan penyokong PKR dilihat berjumpa dengan Anthony Loke dipercayai bagi menyatakan ketidakpuasan hati berhubung calon Ampangan
Kumpulan penyokong PKR dilihat berjumpa dengan Anthony Loke dipercayai bagi menyatakan ketidakpuasan hati berhubung calon Ampangan

Namun tidak dapat dipastikan butiran yang dikatakan kepada Ahli Parlimen Seremban terbabit, namun kendengaran mereka menyebut perkataan Ampangan.

Bagaimanapun keadaan terkawal dan tidak berlaku sebarang kekecohan tidak diingini.

Seorang penyokong Ampangan dilihat menjerit dengan perkataan 'tolak Ampangan'
Seorang penyokong Ampangan dilihat menjerit dengan perkataan 'tolak Ampangan'

Seorang penyokong ditemui Sinar Harian memberitahu, mereka meminta calon Ampangan ditukar dengan calon lain kerana beliau dilihat tidak mempunyai bakat sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Kita pun tak kenal dia siapa. Mungkin dia suri rumah, tiada bakat. Nak jadi calon ini kena ada bakat, tak boleh letak macam itu saja.

"Tapi kami tak boleh buat keputusan (calon sesuai) dan hanya kepimpinan parti boleh bincangkan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Tengku Zamrah pula enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Pada majlis berkenaan juga, Pengerusi PKR yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak hadir kerana dilaporkan ada urusan tidak dapat dielakkan.

Untuk rekod, penyandang DUN Ampangan ialah Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan.

Beliau dilihat antara ADUN yang menunjukkan prestasi baik sebagai wakil rakyat apabila melakukan pelbagai pembangunan terhadap Ampangan antaranya pembinaan Pasar Moden Ampangan, Kompleks Komuniti Ampangan untuk menggantikan Balai Penghulu yang telah uzur, Jejantas Ampangan yang menghubungi Bangunan UTC - Benteng Ampangan dan Dataran Ampangan.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nama beliau digugurkan selepas satu penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Selain itu, dua lagi bekas ADUN PKR turut digugurkan iaitu penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi yang merupakan Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan dan penyandang DUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching.