AADK benar lawatan khas bersemuka sempena hari Krismas

Negeri-negeri yang belum mencapai Fasa Empat PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.- Foto hiasan
Negeri-negeri yang belum mencapai Fasa Empat PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.- Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli keluarga klien yang mengikuti program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dibenarkan melawat secara bersemuka sempena sambutan hari Krismas.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagaimanapun berkata, kebenaran lawatan khas tersebut melibatkan Puspen terletak dalam negeri berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sahaja.

"Kebenaran bersemuka itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan termasuk hanya pelawat yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan bagi tempoh lima hari bermula 25 hingga 29 Disember.

"Negeri-negeri yang belum mencapai Fasa Empat PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian," menurut kenyataan itu pada Khamis.

AADK berkata, ahli keluarga yang ingin melawat perlu membuat temu janji menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau mesej WhatsApp kepada pegawai pemulihan terlibat.

"Lawatan secara walk-in adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di pautan www.adk.gov.my.

"Sesi lawatan keluarga itu akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga, penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pengekalan kepulihan klien yang berada dalam institusi," katanya.

Artikel Berkaitan: