Hanya 1.5 hingga 2 gram untuk uji ketulenan 'emas terapung'

Antara sampel muntah paus atau ambergris yang disimpan dalam Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Antara sampel muntah paus atau ambergris yang disimpan dalam Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ujian bagi menentukan ketulenan muntah ikan paus atau digelar 'emas terapung' yang dijalankan Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hanya memerlukan antara 1.5 hingga 2 gram daripada bahan berkenaan.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, kaedah analisa sampel muntah paus atau ambergris pula dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu ujian kimia dan fizikal.

"Bagi kedua-dua analisis yang dijalankan ini, hanya 1.5 hingga 2 gram sahaja daripada bahan yang dipercayai sebagai ambergris diperlukan.

"Jadi, tidak timbul isu bahawa pihak makmal PPPL, UMT mengambil sampel dalam kuantiti yang banyak daripada pelanggan, " katanya kepada Sinar Harian, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, proses analisis dijalankan perlu melalui beberapa peringkat yang kompleks serta merujuk kepada satu standard khusus bagi menentukan sama ada mengandungi tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone yang ada pada ambergris.

"Pada peringkat awal, sampel yang diterima akan direkod dan dikeringkan dengan menggunakan kaedah pengeringan beku bagi mengeluarkan semua kandungan air dan lembapan yang masih terdapat dalam sampel yang diterima.

"Bagi ujian kimia pula, sampel yang telah kering akan melalui satu siri perawatan seperti pengekstrakan iaitu semua bahan organik akan dikeluarkan daripada sampel dengan menggunakan pelarut kimia berpolar dan pemisahan iaitu bahan kimia yang disasarkan diasingkan daripada ekstrak organik," katanya.

Beliau berkata, larutan yang telah diasingkan ini akan dipekatkan dan diuji menggunakan dua instrumen saintifik utama iaitu fourier transform infrared spectroscopy (FTIR) bagi penentuan kumpulan berfungsi kimia ambrien (C30H52O), coprostanone (C27H46O) dan epi-coprosterol (C27H48O).

Artikel Berkaitan:

"Gas chromatography mass spectrometry (GCMS) digunakan bagi pengenalpastian kandungan komponen kimia ambrien, coprostanone dan epi-coprosterol.

"Kehadiran puncak-puncak ini pada sela masa tertentu akan membuktikan ketulenan objek yang didakwa ambergris manakala ketidakhadiran puncak-puncak yang mewakili ketiga-tiga bahan kimia tadi menafikan ketulenan ambergris," katanya.

Hasrizal berkata, PPPL UMT merupakan satu-satunya pusat penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang memiliki kepakaran bagi mengenalpasti ketulenan ambergris.

Beliau menjelaskan, memandangkan proses analisis begitu kompleks, terdapat caj dikenakan bagi ujian menentusah muntah paus iaitu RM500 bagi sampel tempatan dengan keputusannya diketahui dalam tempoh seminggu.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 sampel didakwa muntah ikan paus tidak tulen

Menurutnya, setakat ini sebanyak 18 sampel yang diterima dari perairan negara sejak Januari tahun ini telah dikenalpasti tidak mengandungi bahan aktif yang sepatutnya ada pada ambergris.

"Kita tidak dapat mengenalpasti dari mana datangnya sumber bahan tersebut kerana terdapat banyak kemungkinan sama ada daripada sisa buangan hasil aktiviti di laut atau daripada sumber-sumber lain.

"Apa yang pasti, ambergris yang tulen ini hanya dihasilkan oleh rembesan saluran hempedu yang terdapat di dalam sistem pencernaan paus sperma," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan seorang wanita mendakwa menemui satu objek dipercayai muntah paus ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, di Marang pada akhir November lalu.

Susulan itu, Jabatan Perikanan Terengganu telah mengambil sampel objek berkenaan pada Rabu bagi mengenalpasti ketulenan ketulan berlilin tersebut.